Oleh: ZULIANA AZIZ
GEORGE TOWN – “Bayaran sekali sahaja sebanyak RM500 kepada keluarga-keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah oleh Kerajaan Persekutuan harus diberi setiap tahun dan bukan hanya sebelum pilihan raya untuk membuktikan bahawa program-program tersebut bukan sekadar senjata politik,” tegas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan akhbar di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, bayaran-bayaran sekali sahaja ini akan menelan belanja kerajaan sebanyak RM1.8 bilion untuk 3.4 juta isi rumah dan RM550 juta untuk 5.5 juta pelajar.
Ini bukanlah satu jumlah yang terlalu banyak memandangkan negara kita kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Sebagai contoh, katanya, badan pemerhati kewangan yang berpangkalan di Washington iaitu ‘Global Financial Integrity’ (GFI) telah melaporkan bahawa Malaysia telah kehilangan RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) akibat dialirkan secara haram ke luar negara dari tahun 2000 hingga 2009. Ini adalah tambahan kepada skandal RM12 bilion dalam kes Zon Bebas Cukai Port Klang, Skandal RM52 bilion saham bumi dan yang terbaru RM250 juta dalam skandal ‘lembu dalam kondo’, NFC.
“Daripada membazirkan wang rakyat dengan projek-projek melampau ini, Kerajaan patut memberi bantuan kepada rakyat memerlukannya dalam keadaan semasa yang dilanda inflasi tinggi dan hutang isi rumah melambung.
“Berjuta-juta rakyat Malaysia menghadapi kesusahan terutama sekali dengan kos barangan yang sedang meningkat seperti gula, telur, tarif elektrik, teh tarik dan kopi susu, roti Gardenia, cukai perkhidmatan, bawang, milo, nescafe dan semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koey toew dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama,” tambah Ketua Menteri.
Tambah beliau, inflasi yang kian meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi.
Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas ‘menobatkan’ Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.
Tambahan pula, kata Guan Eng, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang. Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang.
“Selain bantuan kewangan kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga harus melaksanakan gaji minima. Pun begitu, gaji minima tidak bermakna jika ia tidak dihubungkan secara terus kepada kadar inflasi, seperti yang telah dicadangkan dalam persidangan Kebangsaan DAP awal tahun ini.
“Oleh itu, saya menyeru agar Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu rakyat dengan menjadikan bantuan RM500 dan RM100 sebagai program tahunan, lantas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar ingin ‘membeli’ kemenangan dalam pilihan raya,” tegas beliau lagi.