Bantuan rumah ZPP beri sinar baru kepada dua keluarga asnaf

Admin

PINANG TUNGGAL – Dua keluarga asnaf di sini meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima rumah baru yang disumbangkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Penerima, AHMAD SUKRI MOHAMED SALLEH, 49, menyifatkan bantuan yang diberikan oleh ZPP telah memberikan sinar baru kepada dia dan keluarga untuk menjalani kehidupan lebih selesa kini.

Katanya, selain masalah atap bocor, struktur rumah pusaka keluarga yang diduduki bersama-sama isteri dan tujuh anaknya selama lebih 15 tahun tidak lagi selamat kerana dimakan anai-anai.

Ahmad Sukri Mohamed Salleh.

Jelasnya lagi, dia tidak mampu membina rumah atau mencari tempat tinggal lebih selesa untuk keluarganya disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi.

“Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada Zakat Pulau Pinang kerana telah membantu menyediakan sebuah ‘mahligai’ untuk kami sekeluarga yang jauh lebih selesa berbanding rumah lama.

“Jika dahulu, setiap kali hujan saya tidak dapat tidur lena kerana memikirkan anak-anak disebabkan lantai rumah akan dinaiki air kerana atap bocor.

“Kini kami sudah boleh tidur dengan tenang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci Bantuan Bina Rumah ZPP dekat Permatang Tinggi B, di sini pada 6 Mac lalu.

Penyerahan kunci rumah baru tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Menjelas lebih lanjut, Ahmad Sukri memberitahu bahawa rumah kayu yang didudukinya sebelum ini tidak mempunyai bilik menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa tidur bergelimpangan.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan kunci rumah yang telah siap dibaik pulih kepada Abdul Aziz Abu Hussain.

 

Namun kini katanya, bantuan rumah baru ZPP membolehkan empat anak perempuan dan tiga anak lelakinya mempunyai bilik berasingan.

“Alhamdulilah, rumah baru ini mempunyai tiga bilik tidur dan dilengkapi dengan kipas serta lampu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ABDUL AZIZ ABU HUSSAIN, 44, yang turut menerima bantuan menerusi Program Bantuan Baik Pulih Rumah ZPP kini boleh menarik nafas lega apabila rumah yang didudukinya kini dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Dia bersama-sama tiga lagi ahli keluarga sebelum ini tinggal di rumah sewa yang sempit dekat Lahar Tambun Tasek Gelugor.

“Kami terpaksa berpindah dari rumah sewa sebelum ini kerana tuan rumah mahu membina rumah baharu jadi, saya terpaksa membina rumah sendiri di sini tetapi tidak ada bekalan elektri dan air bersih.

“Alhamdulillah, dengan bantuan ZPP, rumah yang kami duduki sekarang ini lebih luas dan selesa,” katanya ketika ditemui dekat rumahnya di Tasek Gelugor.

Keadaan rumah asnaf yang siap dibaik pulih.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, bantuan rumah yang disediakan oleh ZPP menelan kos RM57,515.86 yang menggunakan reka bentuk baharu yang lebih moden.

“Pada tahun lepas sebanyak 25 buah rumah baru berjaya dibina dan pada tahun ini ZPP sasarkan 30 buah rumah bantuan zakat akan dibina di seluruh negeri,” jelasnya yang juga Pengerusi ZPP.

Tambahnya lagi, selain bina rumah baru ZPP juga menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta setiap tahun bagi program membaik pulih rumah asnaf yang layak.

“Bantuan ini diberikan bagi membantu golongan asnaf fakir dan miskin menampung kos membaiki rumah yang rosak dan daif sekaligus menjadikan kediaman mereka lebih sempurna dan selesa untuk didiami,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS