Banyakkan ‘parit gila’, IADA respons isu tanah jerlus

Admin
6819c17e f558 4a88 b2c3 4c3ccf89faef FAHMI Zainol (empat dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Seminar Pengukuhan Kumpulan Pengguna Air (KPA) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 di Butterworth Arena di sini pada 7 Mac 2024.

BAGAN JERMAL – Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Shukor Abdullah berkata pihaknya akan memperbanyak pembinaan ‘parit gila’ bagi menangani keadaan tanah jerlus dekat kawasan jelapang padi sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terutama Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

dfce00b7 3216 46b4 8a61 39217a4d00a4
SHUKOR Abdullah

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol seusai menyertai Seminar Pengukuhan Kumpulan Pengguna Air (KPA) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 di Butterworth Arena di sini pada 7 Mac 2024.

“Parit jerlus berlaku sebab perubahan cuaca dunia yang mengakibatkan taburan hujan begitu tinggi serta mengakibatkan kandungan air dalam tanah begitu tinggi; air (di kawasan petak sawah) tidak dapat mengalir cepat ke laut.

“Faktor rendaman tanah dalam tempoh yang begitu lama mengakibatkan ia menjadi tanah jerlus.

“Apa yang boleh dibantu antaranya kita (IADA) akan memperbanyak pembinaan ‘parit gila’ atau parit jaring untuk percepatkan proses mengalirkan air keluar dari petak sawah ke parit buang dan terus ke laut,” jelasnya lagi sambil mengaku bahawa jadual pengairan sempena musim ‘menyerak’ padi akan datang bermula pada 15 Mac 2024.

Berdasarkan jadual pengairan yang ditetapkan oleh IADA sebelum ini, beliau berkata memang memberi masa kepada para pesawah untuk melakukan kerja-kerja merawat dan penyediaan tanah.

“(Oleh itu), ia bergantung kepada para pesawah untuk mematuhi jadual pengairan,” katanya lagi.

c2e0d30e 8925 4560 ae39 91eba6dc0872
FAHMI Zainol

Sebelum itu, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dalam ucapan perasmian antara lain memberitahu bahawa KPA ditubuhkan bagi mendorong sekalian anggota berkenaan memajukan organisasi ke tahap lebih tinggi sehingga berkeupayaan untuk mengambil alih pengurusan sistem pengairan, di samping menggandakan hasil pertanian peringkat lokal.

“KPA merupakan sebuah organisasi formal yang ditubuhkan oleh pengurusan skim pengairan dengan kerjasama petani.

“Keahliannya terdiri daripada petani-petani yang mengusahakan tanaman di dalam satu kawasan subsistem pengairan yang mengawal bekalan air dan saliran kawasan yang diusahakan,” ujarnya lagi.

Turut serta, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Ir. Mohd. Nazri Yasmin; Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Fitrisubroto Yahmin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD