SUNGAI DUA – Barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan perlu lebih bersatu padu dalam menghadapi krisis ekonomi semasa susulan pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kesatuan dalam kalangan barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan adalah penting dalam memastikan cabaran semasa dapat ditangani tanpa menjejaskan kestabilan politik sama ada pada peringkat negara mahupun negeri.
“Sememangnya Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak mengamalkan sistem terbuka dalam perniagaan dan perdagangan menerima impak besar sekiranya dasar yang diumumkan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini tidak berubah.
“Oleh itu, kita berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bersama-sama mengambil tindakan sewajarnya untuk merunding kadar tarif pada kadar yang tidak menjejaskan ekonomi negara.
“Namun, saya yakin pimpinan pada peringkat kebangsaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim dan jemaah menteri sedang membuat persiapan untuk bertemu dengan pimpinan Amerika Syarikat untuk berunding perkara ini.
“Ini adalah antara contoh faktor luaran yang mampu membawa impak kepada suasan politik pada peringkat negeri dan juga negara,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) dekat Pusat Perniagaan Sungai Dua di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pengerusi Amanah Negeri, Muhammad Faiz Fadzil; Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Dr. Zaidi Zakaria; Naib Pengerusi 1, Muhamad Suzuki Ahmad; Naib Pengerusi 2, Fadzil Abdullah; Setiausaha, Zahar Zainul; Bendahari, Ramli Omar; Ketua Pemuda, Muhamad Khairul Mohd. Ali; Penolong Setiausaha 1, Ahmad Saufian Harun dan Penolong Setiausaha 2, Dzul Fahmi Abu Bakar.
Selain isu luaran, Kon Yeow menyatakan bahawa isu-isu dalaman juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan terutamanya selepas berlaku pemilihan pada peringkat parti masing-masing.
“Berbanding pilihan raya umum (PRU), pemilihan untuk memilih barisan kepimpinan parti berlaku lebih kerap kerana ia merupakan proses demokrasi biasa yang kita semua perlu hormati.
“Setelah tamat pemilihan, maka kita perlu kembali kepada asas perjuangan untuk memastikan rakyat dapat bersama-sama dalam perjuangan kita,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR