Barisan sukarelawan belia diseru lebih berani, keluar daripada kepompong isolasi

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru agar barisan sukarelawan belia  bersikap lebih berani dan keluar daripada kepompong isolasi.

“Pada pendapat saya, rata-rata mereka (belia) yang bersifat demikian akan merasa lebih berani untuk mencuba serta lebih berkeyakinan di khalayak umum, gemar bergaul dan seterusnya keluar daripada kitaran kecil.

“Harapan saya agar barisan belia dapat mengikis sikap negatif dalam diri, dan seterusnya menyemai sikap yang positif sehingga mampu memberi impak bukan sahaja terhadap masyarakat, malahan juga alam sekitar selaras dengan Visi Penang2030,” ujarnya pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Belia Pulau Pinang 2022 di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

KETUA MENTERI bersama-sama barisan sukarelawan belia bergambar kenangan selepas penyerahan sijil penghargaan.

Pada majlis berkaitan, seramai lima (5) sukarelawan telah dianugerahkan Anugerah Sumbangan Kecemerlangan Khidmat Melebihi 35 Jam manakala Anugerah Khidmat Melebihi 10 Jam (91).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bagi mewujudkan masyarakat maju dan progresif, penglibatan golongan belia adalah amat penting dan perlu dimaksimumkan.

“Diharapkan platform sedia ada diaplikasikan sebaik mungkin bagi membuka ruang dan peluang kepada para sukarelawan belia mencabar diri.

“Hal ini demikian kerana pendedahan awal adalah sangat berguna terutamanya dalam aspek pembangunan belia secara holistik di samping dapat meningkatkan semangat kepimpinan komuniti yang tinggi,” ulasnya sambil menyifatkan semangat berkaitan perlu diterapkan dari semua pihak.


Tambah Kon Yeow, program Penghargaan Sukarelawan Belia Pulau Pinang merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan platform boleh diceburi golongan belia terutamanya melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan.

“Sebagai makluman, pelbagai platform telah dirangka dan disusun untuk disesuaikan dengan model kesukarelawan yang turut meliputi pelbagai aspek pemerkasaan dan pemantapan kendiri,” jelasnya sambil berkongsi bahawa program tersebut berjaya menarik minat seramai 2,200 belia setakat ini.

Difahamkan, program Penghargaan Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang dilancarkan sejak dua tahun lalu adalah bertujuan meraikan para sukarelawan yang telah banyak menyumbang kudrat mereka kepada masyarakat keseluruhan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NORAZIS