Batal lesen penjaja degil guna polistrena

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Para penjaja dan peniaga yang ‘ditangkap’ melanggar larangan menggunakan polistrena berkemungkinan berhadapan dengan tindakan lesen perniagaan mereka dibatalkan, tegas Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di sini baru-baru ini.

Katanya, sekiranya seseorang penjaja dan peniaga didapati melanggar larangan tersebut, satu surat tunjuk sebab akan diberikan.

“Sekiranya penjelasan yang diberikan pihak berkenaan tidak memuaskan, maka, lesen akan dibatalkan kerana larangan tersebut telah diwar-warkan sejak tahun 2009 lagi,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas hebahan program ‘Girl Guides Go Green’ di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Chief Commisioner Girl Guides Association of Malaysia – Penang Branch, Chan Kit Sin dan Naib Yang DiPertua Girl Guides Association of Malaysia – Penang Branch, Datuk Tan Leh Sah.

Menurut Boon Poh, mulai 1 Disember ini, pihaknya akan memulakan operasi dari gerai ke gerai dan akan memastikan penggunaan polistrena dihentikan.

“Alasan penjaja yang menyatakan bahawa masih terdapat banyak bekalan bekas polistrena adalah tidak memuaskan kerana mereka (penjaja) telahpun diberikan masa mencukupi untuk menyelesaikan penggunaan produk tersebut sebelum ini,’’ tegas beliau.

Beliau memberitahu, ekoran larangan terbabit, penjaja boleh menggunakan bekas makanan biodegradasi atau pembeli membawa sendiri bekas makanan masingmasing ketika membungkus makanan.

Sejak 2009, inisiatif Kerajaan Negeri ‘mengharamkan’ penggunaan polistrena memperlihatkan impak postitif apabila banjir kilat di beberapa kawasan sekitar George Town berjaya ditangani termasuk kawalan vektor yang dibawa oleh nyamuk Aedes.