Batu Kawan jadi tapak KDU, Universiti Hull – KM

Oleh : ZAINUFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Sebuah lagi Universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti KDU serta Universiti KDU akan ditubuhkan di atas tanah berkeluasan 30 ekar di Batu Kawan, selepas Kerajaan Negeri  mengumumkan pemajuan kampus cawangan Universiti Hull dari United Kingdom di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjual tanah di sini kepada Paramount Corporation Berhad (Paramount), iaitu syarikat induk Paramount Property dan Kumpulan Pendidikan KDU.

“Ini adalah projek universiti kedua di Batu Kawan berikutan pengumuman dua hari lalu bahawa Universiti Hull dari United Kingdom juga akan dibuka di Batu Kawan.

“Perjanjian jual beli tanah ini adalah tepat pada masanya kerana kampus baru KDU di Batu Kawan, akan mempunyai kemudahan yang lebih menepati keperluan sebuah kolej universiti,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Chong Eng (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Wira Jalilah Baba (Pengerusi PKT Logistics Group Sdn. Bhd.), Ian Pashby (Naib Canselor Universiti Hull dekat United Kingdom), Edmund Edward (Ketua Pegawai Eksekutif ALC College) dan Datuk Micheal Tio (Pengarah Pengurusan Kumpulan Logistik Sdn. Bhd. )(turut hadir).

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, projek rangsangan yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa lima tahun ini terdiri dari 10 ekar tanah untuk tujuan pembangunan sebuah kolej universiti dan universiti, manakala, baki 20 ekar tanah lagi untuk pembangunan campuran.

“Paramount perlu mendapatkan semua kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan dan membiayai sepenuhnya kos pembangunan.

“Kolej KDU Pulau Pinang kini sedang berusaha ke arah akreditasi Kolej Universiti, selaras dengan visi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadikan negeri (atau) negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambah beliau, kejuruteraan, perakaunan, perniagaan, pengajian pra-universiti, hospitaliti, kulinari dan pelancongan, sistem maklumat, komunikasi massa, reka bentuk serta Bahasa Inggeris antara kursus ijazah yang akan ditawarkan di universiti berkenaan nanti.

“Pulau Pinang mempunyai potensi yang besar untuk berkembang  sebagai hab pendidikan kerana kesesuaian untuk didiami dan keselamatan yang baik dan pertumbuhan kelas menengah yang pesat.

“Pulau Pinang kini menawarkan pelbagai institusi pendidikan bagi pelajar-pelajar tempatan dan asing dengan sekolah antarabangsa, institusi pengajian tinggi khusus dan komprehensif dan institusi profesional untuk menyediakan latihan dan peningkatan kemahiran seperti PSDC,” ujar Guan Eng lagi.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan Universiti Hull dari United Kingdom akan membuka kampus cawangannya di Batu Kawan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Memorandum of Intent antara Universiti Hull & ALC College, iaitu anak syarikat Logistik PKT.

Itu, tidak termasuk cadangan Kerajaan Pusat menubuhkan ASEAN Women Leadership University (AWLU) di Balik Pulau, serta, cadangan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) menubuhkan sebuah kampus Universiti Islam di Penanti, sebelum ini.