Bawa JKSNPP ke peringkat antarabangsa, hasrat Ketua Hakim Syarie baharu

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) dekat pejabatnya di Komtar.

 

Delegasi diketuai oleh Ketua Hakim Syarie, Y.A.A. Tuan Muhamad Abdul Karim Wahab, yang baharu dilantik pada 29 April 2020 lalu bagi menggantikan YAA Datuk Muhamad Shakir Abdul Hamid yang kini menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

 

Mengiringi beliau ialah Pegawai Syariah, Nik Suhaimi Nik Saberi dari Bahagian Penyelidikan JKSNPP dan Ketua Pendaftar Bahagian Pendaftaran dan Pengurusan Mahkamah JKSNPP, Hasniah Hassan.

 

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan keadilan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembangunan secara fizikal institusi kehakiman syariah di negeri ini menjadi fokus perbincangan.

 

MUHAMAD Abdul Karim Wahab.

Selain itu, Muhamad Abdul Karim turut memaklumkan bahawa JKSNPP turut megambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan sistem perundangan syariah di negeri ini antaranya dengan memperkenalkan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Kos dan Elaun) Negeri Pulau Pinang memandangkan kaedah lama tidak lagi relevan dengan peredaran zaman.

 

Turut dikongsikan, kejayaan JKSNPP meraih Anugerah Lima Bintang dalam pertandingan inovasi dan produktiviti peringkat nasional sempena Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi (APIC) 2020 baru-baru ini.

 

Akhir pertemuan, Muhamad Abdul Karim menyatakan hasrat untuk membawa JKSNPP ke peringkat antarabangsa sekaligus memartabatkan institusi kehakiman syariah bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan Malaysia.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI