Bawang Pulau Pinang setanding bawang import, pertanian pintar boleh tambah baik

Admin
img 6149

SELEPAS negara India mengambil langkah tidak akan mengeksport bawang ke luar negara, dasar itu secara tidak langsung telah memberi kesan kepada Malaysia selaku pengimport daripada negara tersebut.

 

Dalam menangani situasi itu, Malaysia turut mengambil langkah untuk mengekalkan keterjaminan bahan mentah tersebut melalui projek-projek menanam bawang yang mula dilaksanakan dan telah berjaya dituai di Perak Mei lalu.

img 6133

Pulau Pinang tidak terkecuali apabila berjaya menuai 1.3 tan bawang di tanah seluas 0.4 hektar melalui projek tanaman bawang melalui usaha sama antara Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia  (MARDI), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Vitrox Agritech dekat Ara Kuda, Tasek Gelugor.

img 6207

Penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD sempat mengadakan lawatan ke ladang bawang Vitrox Agritech, Ara Kuda bersama Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, FAHMI ZAINOL untuk meninjau sendiri projek tersebut.

 

Menurut Fahmi, projek penanaman bawang di negeri ini adalah projek perintis dalam usaha menangani isu keterjaminan bekalan bawang yang mana bahan tersebut antara yang banyak digunakan dalam masakan di Malaysia.

img 6141

“Apa yang boleh saya katakan adalah projek ini dilihat berjaya, namun banyak perkara perlu ditambah baik, antaranya adalah berkaitan saiz yang mana kalau kita lihat saiznya sedikit kecil berbanding bawang India.

 

“Namun, rasa bawang ini sama sahaja bahkan ada yang mengatakan rasanya lebih sedap dengan aroma yang lebih menarik berbanding bawang import.

 

“Saya percaya pihak MARDI boleh jalankan kajian lanjut dan terperinci lagi terutamanya untuk menambah saiz bawang Pulau Pinang ini,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara semalam.

img 6147

Melihat kepada perkembangan positif tersebut, Fahmi juga yakin bahawa potensi bawang Pulau Pinang mampu diperluaskan ke daerah-daerah lain.

 

Di samping penanaman bawang yang dikatakan berjaya, ia turut datang bersama dengan cabaran bagi mengekalkan tanaman tersebut sebagai tanaman utama.

 

“Antara faktor yang dikatakan menghalang tumbesaran saiz bawang adalah cuaca di sini tidak cukup panas.

 

“Saya difahamkan bawang memerlukan cuaca yang panas, memang di sini panas tetapi bawang juga sensitif kepada hujan lebat, atas faktor itu bawang kita terpaksa ditanam di bawah bumbung plastik.

 

“Dengan cara ini akan dapat mengelakkan tanaman bawang daripada ditimpa hujan lebat tetapi pada masa sama ia telah mengurangkan cahaya matahari.

 

“Inilah antara cabaran yang perlu kita atasi untuk menghasilkan bawang dengan saiz yang lebih besar pada masa akan datang,” maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

 

Menurut Fahmi, antara cabaran lain penanaman bawang di sini adalah kos yang agak tinggi.

 

“Di sini yang saya selalu tekankan adalah pertanian pintar, macam sekarang kos bawang agak sedikit tinggi sebab memerlukan tenaga kerja yang ramai.

img 6183

“Bermula dengan kerja-kerja menyemai, memindah anak pokok, menuai dan menjemur itu memerlukan perlukan tenaga kerja, sekiranya proses menuai dapat gunakan mesin, mungkin kos dapat dijimatkan.

 

“Selepas dituai, bawang ini perlu dijemur kira-kira dua minggu supaya betul-betul kering sebelum dijual,” jelasnya lagi.

 

Dalam jangka masa pendek, bawang Pulau Pinang dijual dalam kalangan komuniti tempatan sahaja dan dipasarkan di kilang-kilang.

 

Melihat kepada kejayaan itu, Fahmi menaruh harapan agar lebih ramai petani tampil bekerjasama dengan pihak MARDI, Jabatan Pertanian mahupun pihak-pihak berkepentingan untuk memperluaskan tanaman bawang.

 

“Macam saya cakap, dari segi rasa, bau, memang setanding bahkan ada yang kata lebih bagus, jadi saya nampak bawang memang ada potensi besar di Pulau Pinang.

 

“Saya percaya lepas beberapa kali menuai nanti MARDI akan ada penyelesaian untuk tambah baik beberapa perkara,” katanya menutup bicara.