Bayar cukai taksiran dan berpeluang menang wang tunai sehingga RM8,888

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sekali lagi mengadakan promosi bayaran cukai taksiran secara dalam talian (online) dengan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM8,888.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, promosi tersebut telah pun bermula sejak 1 Julai lalu dan akan berakhir pada 31 Ogos 2021.

“Promosi ini diadakan sebagai insentif dan galakan berterusan kepada warga Seberang Perai supaya membayar cukai taksiran serta menjelaskan tunggakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sr. Rozlai Mohamud ketika mengadakan sidang media secara maya semalam.

“Bayaran boleh dibuat menggunakan mana-mana platform saluran pembayaran yang disediakan secara dalam talian atau melalui agensi yang dilantik serta melalui kiosk.

“Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi yang telah disediakan kepada orang awam dan membuat urus niaga secara online selari dengan amalan normal baharu dek penularan COVID-19,” katanya pada sidang media yang dijalankan secara maya semalan.

Tambah Rozali, penyertaan bagi promosi kali ini adalah khusus kepada pembayar cukai taksiran melalui kiosk, agensi kutipan atau dalam talian.

“Mereka yang membuah bayaran di kaunter MBSP atau kaunter cawangan adalah tidak layak untuk menyertai promosi ini,” ujarnya lagi.

Difahamkan, syarat penyertaan bagi promosi kali ini antara lain adalah cukai taksiran tahun 2021 hendaklah dijelaskan sepenuhnya berserta tunggakan sekiranya ada dan bayaran dibuat dalam tempoh ditetapkan iaitu 1 Julai hingga 31 Ogos 2021.

Poster promosi bayaran cukai taksiran MBSP.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa promosi kali ini juga lebih istimewa apabila Penang Smart Parking (PSP) turut menaja cenderahati khas berupa token tambah nilai e-dompet bernilai RM5 setiap satu kepada 2,000 pembayar cukai terawal.

“Token tambah nilai ini akan dikreditkan ke akaun PSP yang berjaya selewat-lewatnya 31 Oktober 2021.

“Bukan itu sahaja, pembayar cukai taksiran juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan dalam cabutan bertuah yang akan diadakan kelak,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN