Bayar cukai taksiran MBSP awal, peluang bawa pulang  RM10,000

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad menyeru pemilik-pemilik premis segera merebut promosi akhir program Jom Bayar Cukai Taksiran MBSP 2022 & Menang Wang Tunai yang akan tamat pada 28 Februari ini.

 

 

Katanya, melalui promosi tersebut, pemilik-pemilik premis yang membayar cukai taksiran bermula 1 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022 berpeluang memenangi hadiah wang tunai hingga RM10,000.

 

 

“Promosi ini diadakan khas kepada seluruh pemilik premis di Seberang Perai yang membuat pembayaran cukai taksiran setahun 2022 beserta tunggakan (jika ada) melalui kiosk, agensi kutipan yang dilantik atau saluran secara dalam talian yang telah disediakan sahaja.

 

 

“Sebanyak 40 buah hadiah menarik telah diperuntukkan oleh MBSP untuk pembayar cukai bertuah.

 

 

“Untuk tempat ke-10 hingga ke-lima, wang tunai RM1,000 akan diberikan, manakala tempat ke-empat, RM2,000, ke-tiga RM3,000, ke-dua RM5,000 dan tempat pertama sebanyak RM10,000,” ujarnya pada Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ahli-ahli Majlis MBSP.

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, mulai 1 Mac 2022, Caj Notis E sebanyak RM10 akan dikenakan ke atas akaun pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan cukai dalam tempoh ditetapkan.

 

 

Pada kesempatan sama, Azhar turut mengingatkan Lesen Penganjuran Pasar Ramadan yang mula dibuka 14 Februari lalu masih terbuka untuk permohonan sehingga 11 Mac depan.

 

 

Jelasnya, borang-borang untuk penganjur boleh diperoleh melalui Kaunter Berpusat Menara Bandaraya MBSP, kaunter MBSP Cawangan Sungai Jawi, kaunter MBSP Cawangan Butterworth atau di laman sesawang www.mbsp.gov.my/pelesenan/borang.

 

 

“Kepututsan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon pada 21 Mac 2022,” katanya lagi.

 

 

 

Menyentuh mengenai jangkitan kes COVID-19, Azhar memberitahu, sehingga 24 Februari 2022, sejumlah 3.8 peratus atau 151 kakitangan MBSP telah dijangkiti virus tersebut.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD