SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menetapkan pembayaran cukai taksiran penggal kedua 2023 paling lewat pada 31 Ogos depan.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, pemilik premis yang telah mengemas kini maklumat alamat emel serta nombor telefon bimbit akan mula menerima ‘cyberbill’ cukai taksiran penggal kedua 2023 melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan emel dalam tempoh 26 hingga 28 Jun ini.
Menurutnya lagi, mereka yang masih belum mengemas kini alamat emel dan nombor telefon bimbit dalam talian akan terus menerima bil fizikal secara berperingkat mulai 1 Julai.
“Dinasihatkan kepada pemilik yang belum mengemas kini maklumat nombor telefon (bimbit) dan emel, sila berbuat demikian dalam kadar segera memandangkan tiada lagi bil fizikal yang akan dikeluarkan pada (sesi) pengantaran bil cukai taksiran akan datang secara berperingkat,” ujarnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 23 Jun 2023.
Di samping itu, kata beliau lagi mereka yang berkenaan hanya perlu membuat imbasan kod QR pada bil fizikal yang diterima untuk mengemas kini alamat emel dan nombor telefon bimbit.
“Para pemilik premis juga disarankan untuk memuat turun aplikasi ASPIRE Seberang Perai untuk memudahkan proses pembayaran bil cukai taksiran terkini secara digital,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, mereka yang berjaya menjelaskan cukai taksiran bagi penggal kedua 2023 dalam tempoh yang ditetapkan layak untuk menyertai sesi cabutan bertuah hadiah khas.
Untuk kategori satu, hadiah tajaan MBSP bagi tempat pertama berupa wang tunai RM5,555; tempat kedua (RM3,000); tempat ketiga (RM2,000); tempat keempat (RM1,000); dan tempat kelima (RM500).
Untuk kategori dua, hadiah tajaan ASPIRE Seberang Perai bagi tempat pertama berupa LEM Folding Bike bernilai RM1,300; tempat kedua LEM e-Bike with Paddle (RM1,299); tempat ketiga Electric Scooter (RM1,099).
“Cabutan nama pemenang yang bertuah akan ditentukan pada bulan September 2023,” ujarnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR