Bayaran caj air mentah: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan jawab di mahkamah

whatsapp image 2024 09 03 at 13.56.29

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu tindakan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa sehingga kini belum ada sebarang tindakan undang-undang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Kedah berhubung perkara itu.

“Jawapan saya sama juga, terpulang kepada negeri Kedah untuk mengambil tindakan sewajarnya, dan kita (Kerajaan Negeri) akan memberikan respons yang sewajarnya juga berkaitan isu ini.

“Kalau cuma cakap, kita jawab cakap sahaja, kalau masuk ke mahkamah kita akan jawab dalam mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan bagi membangunkan semula Hotel Warisan 1926 di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Jetblue Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan Dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah yang berhasrat mahu membawa isu berhubung tuntutan bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang ke mahkamah.

Ketika ditanya mengenai peluang Pulau Pinang untuk memenangi kes tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa terdapat pelbagai undang-undang termasuk konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air.

“Akhir kata, mahkamah perlu memutuskan tetapi memang ada pelbagai undang-undang serta konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air melibatkan lebih daripada satu negara mahupun negeri,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Terdahulu, Kon Yeow juga dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah menerima tuntutan melalui proses perundangan mahkamah berhubung isu berkenaan walaupun sudah lama dibangkitkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS