BAGAN AJAM – Kerajaan Negeri dijangka memulakan bayaran urusan jenazah bernilai RM1,000 kepada setiap waris warga emas yang telah mendaftar di dalam Program Penghargaan Warga Emas pada bulan Ramadan Al-Mubarak yang bakal disambut bermula minggu depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, komitmen tersebut adalah bagi membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat komited dalam menjaga kebajikan seluruh rakyat Pulau Pinang.
“Apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk menjaga semua rakyat di seluruh negeri ini. Sekiranya terdapat Kerajaan yang baik dan bersih, kita akan dapat jimatkan wang khususnya pelaksanaan Program Penghargaan Warga Emas. Kita buat kerja rakyat secara bersih, telus, amar maa’ruf dan mungkar yang mencerminkan kepentingan integriti,’’ katanya pada program Dialog Rakyat dan Majlis Pelancaran Pusat Khidmat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Telok Air Tawar, Sungai Dua dan Permatang Berangan di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai Penyelaras KADUN Telok Air Tawar, Salehin Mohamed ; Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Dua, Md. Fahmi Abd. Wahab dan Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan, Arshad Md. Salleh.
Bersempena dengan majlis tersebut, seramai 100 keluarga berpendapatan rendah dan ibu tunggal telah menerima hamper barangan makanan serta keperluan harian. Pada masa sama, seramai tujuh pelajar miskin dan cemerlang di dalam pendidikan akademik turut menerima sumbangan penghargaan khas yang disampaikan oleh Guan Eng.
Selain majlis pelancaran yang diadakan pada waktu petang, porgram dialog rakyat yang diadakan seawal 10 pagi adalah membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ; Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ; Pusat Urus Zakat (PUZ) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma.
Menurut Guan Eng, dari Mei hingga kini, seramai 1,658 warga emas telah mendaftar di KADUN Sungai Dua ; 794 KADUN Telok Air Tawar dan 1,139 orang bagi KADUN Permatang Berangan. Kini, proses pendaftaran masih lagi diteruskan terutamanya kepada warga-warga emas yang kurang upaya.
Tambah beliau, bagi anak-anak muda, Kerajaan Negeri memberi penekanan khas kepada aspek ilmu pengetahuan bagi memastikan kejayaan generasi tersebut.
“Pulau Pinang mempunyai rakyat paling pandai di Malaysia. Dalam memastikan usaha ini berjaya, kita memerlukan ’hardware’ dan ’software’. ’Hardware’ adalah kemudahan asas seperti kita memberi bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang sebelum ini telah dipotong oleh Kerajaan dulu.
Pada aspek ’software’, ia meliputi penguasaan Bahasa Inggeris dan komputer. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, penggunaan Bahasa Inggeris di Pulau Pinang adalah yang terbaik. Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan program Wifi di seluruh Pulau Pinang. Justeru, kemudahan tersebut perlu digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat,” ujar beliau.