Bazar Perdana : Peniaga Melayu rasa ditipu

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAZAR Perdana
BAZAR Perdana

KATA orang, rumah kalau ditinggal 40 hari, maka akan menjadi tempat permukiman jin dan syaitan.

Bazar Perdana di Bandar Perda, Bukit Mertajam terbengkalai hampir 10 tahun. Siapakah yang bermukim di sana?

Tiada satu lot kedai pun dibuka walaupun bangunan itu telah menerima Sijil Kelayakan Menduduki sejak Februari 2004 daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

SALINAN bukti Sijil Kelayakan Duduk 2004 yang diterima.
SALINAN bukti Sijil Kelayakan Duduk 2004 yang diterima.

Waktu siang, bangunan itu kelihatan sunyi, kotor, busuk. Macam bangunan puaka pun, ada.

Saban malam, bangkai bangunan ini menjadi sarang penagihan dan penzinaan.

Realiti ini membawa Buletin Mutiara mendapatkan maklum balas sebenar daripada para pemilik lot kedai di bazar tersebut – Mengapa semua ini berlaku?

Pak Deen atau nama sebenarnya Kamaldeen Mohamed Madar Saibo, 60, berkata, beliau berasa seakan ditipu oleh pihak pemaju terlibat.

“Masa nak jual, pemaju kata pasar basah di Bukit Mertajam akan ditutup dan dipindah di sini (Bazar Perdana) hingga tarik minat kami, peniaga-peniaga Melayu.

“Oleh kerana dia (Senator) adalah salah seorang ‘orang besar’ yang janji nak tolong orang-orang Melayu, kami buat pinjaman bank dan pakat-pakat beli lot kedai sebab nak berniaga.”

Lot kedai Pak Deen bernombor F18 di tingkat 1 yang bernilai RM16,650. Saban bulan, beliau terpaksa memerah lebih keringat untuk membayar hutang pada bank. Beliau yang juga ahli jawatankuasa Badan Bertindak Bazar Perdana berkata, sebanyak 1,072 pembeli lot kedai turut menghadapi masalah yang sama dengannya.

80 peratus daripada mereka adalah peniaga-peniaga Melayu.

Pak Hussein atau nama sebenarnya Md. Hussain Kader Mohammad, 67, turut melahirkan rasa kecewa.

“Saya memang tak operasi langsung di food court di tingkat 3. Macam mana saya nak beroperasi kalau kerusi dan) meja makan pun tidak ada.

“Saya sendiri takut nak naik di dua kedai saya (iaitu) no.87 dan no.88 kerana saya takut dirompak atau diancam oleh penagih atau budak-budak muda yang menjadikan bangunan itu tempat maksiat,” ujarnya.

Beliau yang juga pesara kakitangan kerajaan menganggap bahawa beliau seakan ditipu oleh pemaju. Kedua-dua lot kedai yang dibelinya dari pemaju itu kira-kira RM31,000.

“Sebenarnya saya cadang nak pergi (menunaikan fardhu haji di) Makkah bersama isteri dengan duit imbuhan persaraan ini. Dengan apa yang menimpa ini, semuanya tergendala. Macam ditipu pun ada,” ujarnya.

Cik Din atau Jamaludin Ahmad, 47, mendakwa pihak pemaju seolah-olah tidak amanah dengan komitmen para pembeli lot kedai yang majoritinya Melayu.

Disebabkan itu, beliau mencadangkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) campur tangan memandangkan projek terbengkalai ini di bawah kerajaan persekutuan, bukannya Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya beli lot kedai sebab nak meringankan beban hidup, tiba-tiba terbalik pula (iaitu) saya terpaksa bayar pinjaman dan kerja-kerja jahit saya terpaksa dibuat di rumah.

“Badan bertindak cuba untuk berjumpa Datuk Musa (Ketua Bahagian Umno Bukit Mertajam), tetapi kita berjaya berbincang dengan (Adun Seberang Jaya) Datuk Arif Shah pada tahun 2005 dulu. Tiada apa perubahan pada Bazar ini, mungkin Perda dan mungkin (kerajaan) pusat kena lihat (campur tangan),” ujarnya.

Beliau berkata Bazar Perdana ini sepatutnya boleh menjadi seperti Pekan Rabu di tengah-tengah bandar raya Alor Setar; yang menjadi simbol perekonomian umat Melayu. Katanya lagi, Melayu Pulau Pinang boleh mempunyai kedudukan yang lebih baik dari segi ekonomi sekiranya para pemimpimnya amanah dan jujur membantu para peniaga Melayu di negeri berkenaan.

Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros berkata pihaknya telahpun memanjangkan isu 1,072 peniaga yang mendakwa seakan ditipu oleh pemaju kepada pihak berwajib.

“Walaupun saya sendiri merasakan begitu sukar untuk menyelesaikan masalah ini kerana projek ini di bawah kerajaan persekutuan, tetapi semua ini telahpun berada dalam pengetahuan (Ahli Parlimen Permatang Pauh) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang) Datuk Mansor Othman sendiri.

“Jalan yang ada antaranya mungkin isu ini akan dibawa dalam sidang DUN atau di Parlimen supaya boleh  mendorong Perda dan kerajaan pusat sendiri mendengar tuntutan Badan Bertindak Bazar Perdana ini,” ujarnya.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati memang ada tilam-tilam haram di lot kedai tertentu, dipercayai menjadi tempat penzinaan.

Siang dan malam, bazar langsung tidak dikawal oleh pegawai kesalamatan. Mujur polis sekali sekala membuat rondaan untuk cegah jenayah di kawasan sunyi tersebut.

Dijangkakan isu Bazar Perdana yang tak ubah bak projek “Gajak Puteh” tersebut bakal menjentik perasaan rakyat khususnya Melayu dalam pilihan raya umum depan.

DARI Kanan: Kamaldeen Mohamed Madar Saibo, Md Hussain Kader Mohammad , Jamaluddin Ahmad dan Abdul Jalil Che Ros ketika diwawancara wartawan Buletin Mutiara.
DARI Kanan: Kamaldeen Mohamed Madar Saibo, Md Hussain Kader Mohammad , Jamaluddin Ahmad dan Abdul Jalil Che Ros ketika diwawancara wartawan Buletin Mutiara.