GEORGE TOWN – Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang (Liga Muslim) tahun ini menyajikan pelbagai juadah autentik Pulau Pinang yang menarik bukan sahaja untuk penduduk lokal di sekitar George Town malahan juga pengunjung luar.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bersyukur kerana bazar Ramadan pada kali ini kekal diadakan seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Seperti yang sedia maklum, kawasan Little India merupakan antara tempat tarikan pelancong, secara tidak langsung bazar Ramadan di sini turut dapat dipromosikan sebagai destinasi pelancongan.
“Justeru, orang Muslim dan juga bukan Muslim berpeluang menikmati juadah berbuka menarik yang disajikan di bazar ini seperti kuih tradisional masyarakat India Muslim dan bermacam-macam menu lain lagi,” ujarnya semasa melancarkan Bazar Ramadan Liga Muslim baru-baru ini dekat Lebuh Queen.
Hadir sama, Presiden Liga Muslim, Dato’ Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed serta Pengerusi Bazar Ramadan Liga Muslim, Jamil Kader Gani dan barisan ahli jawatankuasa Liga Muslim.
Dalam pada itu, Haja Najmudeen memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk menaikkan nama bazar berkaitan dan diketengahkan sebagai destinasi pelancongan pada masa akan datang.
“Saya berharap pihak Kerajaan Negeri dapat mengetengahkan serta memasarkan Bazar Ramadan Liga Muslim sebagai destinasi pelancongan makanan bukan sahaja sepanjang bulan ini malahan juga pada lain-lain masa.
“Oleh hal yang demikian, Liga Muslim juga berharap dapat memeterai kerjasama utuh bersama-sama Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengenai keperluan untuk menyediakan kemudahan tambahan di bazar Ramadan ini,” tambahnya lagi.
Difahamkan, gimik majlis pelancaran bazar berkaitan turut diadakan membabitkan pemotongan reben di pintu masuk bazar yang baharu.
Selain nasi beriani pelbagai variasi, terdapat juadah lain yang ada di bazar ini termasuk nasi ayam, pasembur, manisan, air herba, maruku serta pelbagai makanan tradisi masyarakat India Muslim.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI