Beberapa replika besar persis Badak Sumbu bakal dihasilkan, kata Unit Upcycle MBSP

img 6734 MOHD Sabri Mohd Sidek (kiri) dan Azizul Abdul Rahim menunjukkan replika besar sulung berupa badak sumbu yang telah siap dihasilkan di Unit Upcycle MBSP Bertam di sini pada 12 Disember 2023.

UPCYCLE Park bersebelahan Menara Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Bandar Perda sehingga kini masih menjadi salah satu mercu tanda kreativiti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menukar barang kitar semula menjadi sesuatu bernilai guna baharu (upcycle).

Dirasmikan pada 10 Mac 2018, taman rekreasi awam tersebut kemudiaan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai taman ‘upcycle’ pertama dalam negara.

a9ac3e81 c40b 41c8 a6f1 4941ff17b54d
DATUK Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad (empat dari kiri) dengan diiringi Ahmad Zabri Mohamed Sarajuddin (lima dari kiri) menerima hadiah penghargaan kategori gerai pameran terbaik daripada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow (tengah) sempena penganjuran Hari Inovasi Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 di sini baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, hasil tangan ‘upcycle’ seperti replika motosikal, binatang dan set kerusi meja tamu yang terdapat di Upcycle Park MBSP tersebut turut boleh didapati di sekolah, premis perniagaan, pejabat, agensi kerajaan dan sebagainya.

Barang-barang ‘upcycle’ jenama MBSP diakui mendapat permintaan khalayak, terutama mereka yang obses dengan kreativiti serta mencari kelainan dalam soal dekorasi kawasan lapang.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD berpeluang ke Unit Upcycle MBSP dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

06a44efd aca2 435b b0fc 2adcb869effe
MOHD Sabri Mohd Sidek

Pembantu Kesihatan Awam Kanan MBSP, MOHD SABRI MOHD SIDEK, 57, memberitahu bahawa Unit Upcycle MBSP dekat Bertam mula beroperasi sejak bulan Mei 2022.

Katanya, di bengkel tersebut, kerja-kerja pertukangan, gumpalan, dan tempaan barang upcycle yang asalnya daripada tayar terpakai, sisa kayu, besi terbuang dan sebagainya dikumpulkan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu.

“Sebelum itu, barang-barang ‘upcycle’ dihasilkan di Depo Operasi Pembersihan MBSP kerana di sana lah kerja-kerja pengumpulan barang kitar semula dilakukan.

“Pada tahun 2021, Wira Oren yang dikenal pasti mempunyai bakat dalam menghasilkan barang ‘upcycle’ dihimpunkan di bawah satu bumbung – bersebalahan dengan Pusat Pelupusan Ampang Jajar dekat Seberang Jaya dan Unit Upcycle MBSP kemudiannya berpindah ke Bertam pada tahun lepas (2022),” jelasnya.

img 6737
SEBAHAGIAN anggota Unit Upcycle MBSP Bertam di sini merupakan dalam kalangan ‘Wira Oren’; bergambar dengan replika besar badak sumbu di sini pada pagi tadi.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajuddin merupakan antara pihak yang banyak memberi sokongan sehingga wujudnya bengkel pembuatan dengan pelbagai kemudahan di Unit Upcycle MBSP, Bertam.

“Kalau termasuk saya sendiri, kini Unit Upcycle MBSP Bertam mempunyai 36 kakitangan, yang mana masing-masing memang mempunyai peranan khusus dalam menghasilkan barang ‘upcycle’ tertentu sama ada daripada sisa kayu, besi, tayar terpakai dan sebagainya,” jelasnya lagi.

img 6724
SUPARMAN Hashim

Mesra dipanggil ‘Abang Man’, SUPARMAN HASHIM, 47, berkata beliau secara peribadi bangga kerana diserapkan dalam Unit Upcycle MBSP Bertam.

Katanya, beliau diberikan peranan khusus untuk melukis, mencorak dan mewarna barang-barang ‘upcycle’ agar kian menarik.

“Sebenarnya saya memang suka kerja-kerja kreatif sebegini, waktu sekolah dahulu saya memang dapat pangkat 1 bagi subjek lukisan.

“Selepas bersara tentera dengan pencen, saya bekerja di Jabatan Perkhidmatan Pembersihan MBSP dulu kemudiannya baru saya di serah ke Unit (Upcycle MBSP) ini… mungkin selepas pihak atasan melihat hasil kerja tangan saya di Depo Pembersihan MBSP Ampang Jajar dulu,” jelasnya lagi dalam nada sederhana.

Bercerita lanjut, Suparman memberitahu bahawa kerja-kerja ‘upcycle’ adalah sesuatu kefahaman yang baharu bagi dirinya.

“Saya tahu melukis, mencanting, mewarna dan mencorak, tetapi sejujurnya ‘upcycle’ adalah satu perkara yang baharu bagi saya,” jelasnya lagi sambil menzahirkan rasa bangga apabila barang-barang ‘upcycle’ dengan jenama MBSP mendapat pujian daripada orang awam dan pelanggan.

img 6739
GAMBAR dua ‘Wira Oren’ MBSP sedang menyiapkan barang ‘upcycle’ berupa rak kasut yang ditempah oleh pelanggan setia MBSP di sini tadi.

Selain itu, Suparman berpendapat bahawa MBSP adalah sebuah organisasi yang sangat menghargai kreativiti kakitangan bawahan termasuk mereka yang bergelar ‘Wira Oren’.

“Apabila lukisan mural saya boleh dilihat di Taman Tunku, simpang-simpang jalan dekat Taman Siakap, dekat Flat Amna dan jalan masuk ke taman perumahan bersebelahan Hospital Seberang Jaya, selain rasa bangga, saya boleh katakan bahawa MBSP sangat hargai kreativiti kakitangannya,” jelasnya.

img 6730
AZHAR Ismail

Nada hampir sama turut dikongsikan oleh seorang lagi ‘Wira Oren’, AZHAR ISMAIL, 56, yang telah berkhidmat dengan MBSP sejak 15 tahun lepas.

“Sebelum diserap masuk ke Unit Upcycle MBSP, saya berkhidmat selama empat tahun juga di Stor dekat Taman Sembilang, Seberang Jaya.

“Selama hampir dua tahun di Unit Upcycle MBSP, saya diberi tanggungjawab menghasilkan barang ‘upcycle’ daripada tayar terpakai.

“Contoh yang biasa saya hasilkan adalah set meja makan lengkap dengan empat buah kerusi yang mana proses membuat struktur fizikal perabot dan sebagainya mengambil masa hampir seminggu.

“Mencorak dan mengecat merupakan proses yang paling rumit untuk menghasilkan barang ‘upcycle’ dengan kualiti premium.

“Sehingga kini, saya sendiri masih ‘belajar’ dengan menonton Youtube di samping ‘try and error’,” jelasnya secara sederhana.

img 6732
CONTOH set kerusi meja tamu ‘upcycle’.

Sepanjang tahun 2023, Azhar memberitahu bahawa beliau berjaya menghasilkan 20 set perabut meja kerusi tamu ‘upcycle’ bagi memenuhi permintaan pelanggan MBSP.

Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki di bengkel ini, memang berpeluang melihat pelbagai lagi barangan ‘upcycle’ bermutu premium dengan harga berpatutan.

Bermula dari aksesori hiasan dalam rumah sehingga lah perabot unit memang boleh dibeli secara langsung atau ditempah di sini.

40d57e22 b566 4bc1 a87b 7011a7d369ee
AZIZUL Abdul Rahim

Mandor Kanan MBSP, AZIZUL ABDUL RAHIM, 39, memberitahu bahawa dalam jerayawara serta kempen ‘upcycle’ yang dianjurkan di sekolah, universiti awam atau institusi pengajian tinggi, ekspo-ekspo anjuran kementerian serta pameran agensi kerajaan menyaksikan replika binatang atau kenderaan jenis motosikal paling mendapat perhatian khalayak.

“Macam baru-baru ini, Unit Upcycle MBSP menyertai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh pada 8 hingga 10 Disember, hasil jualan kasar di gerai pameran sahaja adalah melebihi RM150.

“Tujuan kita menyertai pameran sebegitu adalah untuk mempromosi barang ‘upcycle’ dengan jenama MBSP, dan ternyata strategi ini berjaya menggamit minat para peminat barang-barang unik ke Unit Upcycle MBSP, Bertam.

“Mereka, sama ada wakil kementerian atau agensi kerajaan dan PBT dari seluruh negara termasuk wakil dari Portugal juga pernah mengadakan lawatan ke sini.

“Lazimnya, mereka yang berkunjung ke sini dengan dua tujuan, sama ada untuk melihat dan belajar bagaimana kita (Unit Upcycle MBSP) menghasilkan barang yang mempunyai nilai guna baharu dengan menggunakan barang kitar semula atau membeli dan menempah barang-barang upcycle tertentu,” katanya.

Tambah beliau, rak kasut, perabot, dapur bakar ayam, kerusi rehat, set kerusi meja tamu merupakan antara barang ‘upcycle’ yang mendapat permintaan tinggi, sehingga ada yang sanggup membuat tempahan secara langsung dengan menghubungi nombor telefon 012-437 5135.

“Maklum balas daripada pelanggan kali pertama atau pelanggan setia, rata-rata memberitahu bahawa barangan upcycle yang dihasilkan di sini bukan sahaja mempunyai nilai guna serta unik, malah jauh lebih murah berbanding yang setara di pasaran,” jelasnya.

Walaupun barangan upcycle yang dihasilkan di bengkel tersebut mempunyai nilai komersial, bagi Azizul sendiri, beliau mahu Unit Upcycle MBSP Bertam terus memainkan peranan hakiki iaitu menggerakkan kesedaran komuniti.

“Kita tidak pernah mengabaikan peranan hakiki kita, maka sebab itu kita terus berusaha menggerakkan kesedaran komuniti berhubung kepentingan amalan pengasingan sisa di punca, amalan kitar semula dan upcycle dengan menyertai pameran dan pertandingan berkaitan sama ada di Pulau Pinang atau di luar negeri ini, jika ada peluang.

“Untuk tahun ini (2023) sahaja, Unit Upcycle MBSP Bertam berjaya menganjurkan 55 program pameran, antaranya sempena penganjuran Car Free Morning MBSP, Car Free Day MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang, tidak termasuk bengkel serta pameran kita bersama-sama pihak sekolah, universiti, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbir MBSP yang banyak memberi sokongan kepada Unit Upcycle MBSP Bertam.

Dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak atasan PBT, Azizul menambah bahawa inisiatif Unit Upcycle MBSP menukar tapak pembuangan sampah haram berhampiran kawasan rekreasi awam Taman Tunku Seberang Jaya menjadi ‘sudut upcycle’ telah dipilih sebagai Naib Johan Pertandingan Innovations Blast Tahun 2023 (Kategori Bukan ICT) anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

3691ea18 57d5 43f9 863b 989f7ab5ce2c
ANTARA tonggak utama di sebalik kejayaan gerai pameran Upcycle MBSP sempena Hari Inovasi Kerajaan Negero Pulau Pinang Tahun 2023 di sini baru-baru ini.

Mengakhiri wawancara, Azizul memberitahu bahawa Unit Upcycle MBSP Bertam menyasarkan untuk menghasilkan beberapa replika binatang besar yang jarang ditemukan pada tahun 2024, bagi tujuan menjana daya tarikan pelancongan ke Seberang Perai sebagaimana dihasratkan peringkat PBT berkenaan.

“Setakat ini, kita telah menyiapkan sebuah replika besar Badak Sumbu dengan menggunakan seberat kira-kira satu tan matrik,dengan menggunakan 300 tayar terpakai, tong dram, plastik dan besi.

“Pada tahun hadapan (2024), Unit Upcycle MBSP Bertam menyasarkan untuk membina beberapa lagi replika besar iaitu binatang-binatang yang hampir pupus atau jarang ditemukan seperti Harimau Kumbang, Seladang, Tapir, Burung Unta dan sebagainya,” jelasnya.