Teks & Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD
BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Pejabat Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti serta Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) baru-baru ini memperkenalkan program Beg Mama sebagai menghargai pengorbanan kaum wanita terutamanya mereka yang bergelar ibu.
Ahli Parlimennya, Steven Sim Chee Keong berkata, program tersebut merupakan usaha untuk mengetengahkan kepentingan kaum ibukepada masyarakat.
“Program ini bertujuan menyampaikan mesej kepada kaum ibu bahawa mereka berhak mendapatkan masa dan sumber daripada kerajaan.
“Selain itu, penganjuran itu turut diadakan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan jenayah keganasan rumah tangga di sini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang, Chong Eng.
Tambah Chee Keong, bermula September lalu, sebanyak 200 beg kitar semula berisi set pakaian bayi, pad payudara untuk ibu, produk kebersihan bayi dan kad ucapan khas daripada ahli-ahli parlimen dan exco-exco Kerajaan Negeri diedarkan pada sesi lawatan terhadap
ibu yang baru melahirkan bayi.
“Lawatan tersebut diadakan bersama-sama wakil Briged Wanita Pulau Pinang pada setiap hujung minggu di Wad Bersalin Hospital Bukit Mertajam sebagai salah satu pengisian program Beg Mama,”jelas beliau.
Chong Eng memberitahu, selain usaha memartabatkan kaum ibu, Kerajaan Negeri memandang berat isu keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak yang dipercayai semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Bagi melindungi hak kanak-kanak, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan seminar di seluruh negeri bagi memerangi isu ini.
“Di samping itu, saya juga berharap agar Kerajaan Pusat dapat mengimplimentasikan salah satu manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang memperuntukkan seorang suami supaya mencarumkan RM600 setahun kepada isteri sebagai satu penghargaan,” seru beliau.