Bekalan air negeri kian mampan apabila Projek Air Perak – Pulau Pinang siap kelak

Admin
ced6c6e2 2da6 4c37 8660 17c9a2571dbd KETUA Menteri sempat menyantuni Nurul Izzah Anwar (kiri) semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Batu Kawan di sini pada 17 Februari 2024.

BUKIT TENGAH – Pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang bagi keperluan Kerian Hi-Tech Park serta kawasan-kawasan perindustrian industri baharu di utara Perak Darul Ridzuan nanti, akan turut memenuhi sektor domestik dan komersial air Pulau Pinang sehingga tahun 2050.

a118ed72 b2a2 447f b2ac ad39bdb14a68
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Perdana Menteri kerana berjaya meyakinkan Kerajaan Negeri Perak berhubung keperluan sumber air tambahan bagi sektor perindustrian di utara Perak dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang.

“Saya percaya seluruh rakyat negeri Pulau Pinang khususnya pengguna-pengguna (air) domestik serta pengguna-pengguna air untuk aktiviti perniagaan bertambah yakin bahawa dengan Projek (Air Perak – Pulau Pinang), ia akan memenuhi keperluan sehingga tahun 2050.

“Selepas (tahun 2050) itu pun, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) harap dapat mengusahakan suatu bekalan air yang mampan, maka, kesejahteraan serta keselamatan rakyat negeri Pulau Pinang ini akan terjamin.

“Sebagai Ketua Menteri, saya bersyukur kerana (beberapa syor terutama Projek Air Perak – Pulau Pinang) mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Batu Kawan di sini pada 17 Februari 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya berharap Projek Air Perak – Pulau Pinang tersebut dapat dilaksanakan pada tahun 2024 atau tahun hadapan.

Semalam, Kon Yeow mengiringi Anwar menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) seluas 622.61 ekar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.

Semasa berucap, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak, antara lain menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil maklum mengenai cadangan menyegerakan Projek Air Perak – Pulau Pinang bagi menangani ‘masalah’ bekalan air terawat yang kian menekan di Daerah SPS termasuk kawasan Parlimen Nibong Tebal.

Menjawab soalan pemberitahu petang tadi, Kon Yeow memaklumkan bahawa pentadbirannya mengekalkan pendirian sebelum ini iaitu mendapatkan bekalan air terawat apabila Projek Air Perak – Pulau Pinang beroperasi kelak.

“Seperti saya cakap, kita pun mengambil tindakan sendiri menerusi Pelan Kontingensi (Air Mentah 2030 atau RWCP 2030) sendiri, kalau kita menyempurnakan semua (lapan) projek ini (yang bernilai RM1.184 bilion), kita boleh menambah 602 juta liter sehari (JLH) dari sumber (air mentah) dalaman negeri sendiri sementara tunggu siapnya Projek Air Perak-Pulau Pinang.

“(Berhubung Projek Air Perak-Pulau Pinang) itu, kuantiti (air terawat) dan tarif belum ditentukan lagi,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selain Kon Yeow, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung turut berucap pada majlis berkaitan.

8514f0e6 c71b 47db a676 77f39a8280be
KETUA Menteri merakamkan gambar kenangan bersama-sama barisan tetamu Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Batu Kawan di sini pada 17 Februari 2024.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; isteri kepada Ketua Menteri, Yang Berbahagia Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ahli Majlis MBSP merangkap Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Dato’ Mohd. Noor Ahmad; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SIEW CHIA EN