GEORGE TOWN – Bekalan air Pulau Pinang adalah mencukupi bagi menampung keperluan seluruh rakyat negeri ini pada musim kemarau yang telah bermula dan dijangka berlarutan sehingga pertengahan April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata pada masa ini, pihaknya yakin dapat terus menyalurkan air secara mampan dalam tempoh 45 hari akan datang.
“Sehingga 2 Mac lalu paras air di ketiga-tiga empangan sedia ada berada pada kapasiti efektif yang memuaskan iaitu Empangan Mengkuang pada kapasiti 95 peratus, Empangan Air Itam (82 peratus) dan Empangan Teluk Bahang (58.7 peratus).
“Masing-masingnya mencatatkan peratusan ketara berbanding tempoh yang sama tahun 2020 dengan peningkatan 23 peratus bagi Empangan Mengkuang dan mampu bertahan sehingga 274 hari, Empangan Air Itam selama 81 hari (36.7 peratus) dan Empangan Teluk Bahang selama 179 hari (34 peratus),” katanya ketika ditemui di Komtar semalam.
Menurut Jaseni, berbanding bulan Februari 2020, taburan hujan sepanjang Februari 2021 mencatatkan pengurangan ketara di ketiga-tiga empangan.
“Empangan Mengkuang mencatatkan 218 milimeter (mm) taburan hujan pada Februari 2020, tetapi hanya 3.0mm Februari lalu, diikuti Empangan Air Itam sebanyak 58mm (2020) berbanding 34.5mm dan Empangan Teluk Bahang 140mm (2020) dan kini hanya 2.5mm.
“Cuma beruntungnya kerana pada September hingga Disember 2020 lalu, negeri menerima kadar taburan hujan yang sangat tinggi hingga membolehkan ketiga-tiga empangan melepasi kapasiti paras air yang disasarkan PBAPP… ini sangat membantu meskipun kini telah lebih sebulan hujan tidak turun,” jelas beliau sambil menasihati agar semua pengguna menggunakan air secara berhemah demi memastikan kemampanan air pada masa hadapan dan tiada catuan air di Pulau Pinang.
Menjelaskan mengenai pengurusan empangan ketika musim kemarau, Jaseni yang telah 14 tahun memegang tampuk perbadanan berkenaan menjelaskan bahawa lazimnya ketika musim kemarau PBAPP akan mengoptimumkan pelepasan air kepada pengguna.
“Kita (PBAPP) akan melepaskan air pada tahap yang paling optimum yang sekadar keperluan sahaja supaya tidak berlebihan.
“(Kerana) apa yang lebih penting adalah simpanan air perlu cukup sebagai persediaan sekiranya musim kemarau lebih lama kerana berdasarkan sejarah kebiasaannya musim panas akan berlarutan sehingga bulan Ogos setiap tahun.
“Justeru, sebagai persiapan musim kemarau, setiap tahun dari bulan September hingga Disember, PBAPP akan mula menyimpan dan cuba memenuhkan ketiga-tiga empangan ke tahap tertinggi paling selesa iaitu 90 peratus ke atas.
“Diharap, tahun ini kita akan mendapat taburan hujan yang lebih sekali gus peroleh kesempatan mencapai kapasiti (90peratus) simpanan air awal tahun depan (2022),” kongsi beliau.
Dalam pada itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan bahawa cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.
Pada bulan Mac 2021, Pulau Pinang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 60mm hingga 160mm dan bulan April 2021 kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 50mm hingga 400mm.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING