SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan Pelan Kontigensi Bekalan Air di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) mulai 26 Mei 2022.
Menurut beliau, bekalan air merupakan kemudahan asas yang amat penting dan perlu ditangani segera sekiranya mempunyai sebarang permasalahan.
“PBAPP telah diarahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan mengutamakan bekalan air yang mencukupi terhadap kawasan tertentu sekitar SPS.
“Pada dua hari lepas (26 Mei 2022), PBAPP bertindak mengawal serta meminda bekalan air bermula jam 6 petang hingga 6 pagi keesokannya kepada 32,993 pengguna domestik yang berdaftar di SPS.
“Seterusnya, tindakan pelan yang sama diulangi pada jam 6 pagi hingga 6 petang ke kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak,” jelasnya semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap dekat sini sebentar tadi.
Ketibaan Kon Yeow disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah serta barisan kepimpinan negeri antaranya, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad serta barisan Ahli Majlis MBSP.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa permasalahan tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor yang menjadi penyebab utama daerah SPS mengalami tekanan air rendah.
“Permintaan air semakin meningkat dan pada masa sama tekanan air juga semakin mencabar dek keadaan cuaca yang panas dan jarang sekali dituruni hujan.
“Pulau Pinang bernasib baik kerana mempunyai bekalan air dari Sungai Muda, dan seterusnya Kerajaan Negeri bakal dan berharap dapat meneruskan projek di Sungai Perak iaitu satu-satunya sumber yang mampu membekalkan air mentah kepada negeri ini sehingga tahun 2030 dan ke atas,” ujarnya.
Pada majlis berkaitan, Kon Yeow bersama-sama ADUN Sungai Bakap turut berkesempatan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR