Bekas pesakit jantung kembali hidup normal selepas dibantu Penang Adventist Hospital

HANYA ucapan terima kasih yang mampu diungkapkan oleh bekas pesakit jantung, Lim Soon Huat, 53, kepada Penang Adventist Hospital kerana telah memberi peluang kedua kepada beliau untuk kembali meneruskan hidup.

Lim Soon Huat.

Soon Huat berkata, hidupnya kini kembali normal selepas menjalani prosedur Percutaneous Coronary Intervention (PCI) dekat Penang Adventist Hospital pada awal Ogos lalu selepas beberapa bulan mengalami sakit dada.

“Saya mula mengalami sakit dada dan sukar bernafas pada April lalu tetapi pada waktu itu saya belum mengambil perkara ini secara serius sehinggalah keadaan bertambah teruk.

“Pada bulan Mei, simptom-simptom sakit jantung lebih kerap berlaku sehingga sayar sukar untuk tidur malam dan keadaan ini telah membuatkan isteri saya, Chee Bee Yong, 45, berasa bimbang.

“Susulan itu, kami memutuskan untuk melakukan pemeriksaan di klinik kesihatan kerajaan, dan saya terkejut apabila doktor memberitahu bahawa saya mengalami masalah jantung tersumbat.

“Doktor turut memaklumkan bahawa saya memerlukan pemasangan sten di dalam arteri koronari yang mana prosedurnya agak rumit dan mungkin memakan masa,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Penang Adventist Hospital baru-baru ini.

Lim Soon Huat bersama isteri menunjukkan sokongan terhadap sambutan Hari Jantung Sedunia.

Bercerita lanjut, Soon Huat berkata selepas didiagnosis menghidap penyakit jantung akut (Acute Myocardial Infarction) pada bulan Jun lalu, beliau dan isteri mula mencari jalan untuk menjalani prosedur sebagaimana yang disarankan.

“Dalam tempoh ini, keadaan saya bertambah teruk dari semasa ke semasa menyebabkan isteri  berasa sangat bimbang.

“Setiap malam sewaktu saya tidur, isteri akan memeriksa degupan jantung saya untuk memastikan saya berada dalam keadaan selamat dan masih bernafas.

“Kemudiannya, kawan baik kami yang tinggal di Changlun, Kedah memberitahu bahawa Penang Adventist Hospital mempunyai Unit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan untuk membantu pesakit yang memerlukan,” jelasnya lagi.

Berdasarkan maklumat tersebut katanya, tanpa membuang masa beliau telah menghubungi Penang Adventist Hospital untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

“Selepas mendapat penjelasan, saya terus menghantar semua dokumen yang diperlukan pihak hospital seperti gambar (bukti gaya hidup), rekod perubatan dan lain-lain untuk tindakan selanjutnya.

Eric Loh yang merupakan salah seorang pegawai di Unit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan Penang Adventist Hospital bergambar bersama-sama bekas pesakit jantung yang menerima bantuan melalui Patient Heart Fund.

“Syukur, prosesnya sangat cepat dan pada Ogos lalu saya telah dipanggil untuk menjalani prosedur angioplasti koronari,” katanya.

Justeru, beliau megucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Eric Loh yang merupakan salah seorang pegawai di Unit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan Penang Adventist Hospital atas bantuan yang dihulurkan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada beliau (Eric Loh) dan semua kakitangan terlibat yang membantu melancarkan proses menjalani prosedur ini dari awal hingga ke akhir,” tambahnya yang bekerja sebagai kontraktor binaan.

Difahamkan, pihak Penang Adventist Hospital telah menanggung 75 peratus atau RM41,000 daripada kos perubatan yang diperlukan Soon Huat di bawah Patient Heart Fund.

Seorang lagi pesakit, M. KUMAR, 48, yang didiagnosis penyakit yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada Penang Adventist Hospital kerana memberikan bantuan tepat pada masanya.

“Saya berasa seperti ‘orang baru’ setelah menjalani prosedur angioplasti koronari.

M. Kumar.

“Saya seorang yang sangat menjaga aspek pemakanan sebelum ini, dan sebab itulah saya sangat terkejut apabila mengetahui bahawa saya menghidap penyakit jantung.

“Tambahan pula, dalam kalangan ahli keluarga saya tidak ada seorang pun yang mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung,” katanya yang menerima bantuan berjumlah RM30,000 atau 75 peratus untuk menjalani prosedur PCI.

Justeru, Kumar mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan beliau yang telah mengesyorkan Penang Adventist Hospital untuk menjalani prosedur tersebut.

“Pada masa sama, saya sangat menghargai inisiatif dijalankan oleh pihak hospital untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan perubatan.

“Adalah menjadi harapan saya agar pihak hospital (Penang Adventist Hospital) dapat meneruskan kebajikan dengan menyediakan dana untuk mereka yang benar-benar memerlukan,” tambahnya.

Azizul Aziz kembali bertugas selepas menjalani prosedur angioplasti koronari.

Sementara itu, AZIZUL AZIZ, 36, berkata bahawa 5 April 2021 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan apabila beliau tiba-tiba jatuh pengsan sejurus selepas menjalani latihan penyelamat kelemasan di tempat kerjanya.

“Selepas selesai jalani latihan, tiba-tiba saya berasa sukar untuk bernafas, pening dan tanpa sedar saya telah jatuh pengsan sebelum diselamatkan oleh rakan-rakan sekerja.

“Jika diingatkan kembali ketika itu, hujung jari saya menjadi biru dan dalam keadaan kebingungan saya telah dibawa menaiki ambulans untuk ke hospital.

“Apabila tiba di Unit Kecemasan Penang Adventist Hospital, dalam keadaan keliru saya melihat petugas-petugas kesihatan sedang berusaha menyelamatkan nyawa.

“Saya dibenarkan pulang ke rumah dua hari kemudian,” ceritanya lanjut.

Menurut Azizul, selepas menjalani pemeriksaan, lanjut beliau telah didiagnosis sebagai pesakit jantung dan perlu menjalani prosedur angioplasti koronari dengan kos RM34,000.

“Syukur apabila pihak hospital bermurah hati membantu menampung kos prosedur sebanyak 50 peratus atau RM18,000 manakala bakinya dibayar oleh majikan (RM9,500) dan duit saya sendiri (RM6,500).

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Penang Adventist Hospital kerana telah menyelamatkan nyawa saya dan memberi peluang kedua untuk saya jalani hidup normal melalui bantuan kewangan yang disalurkan.

“Permohonan saya melalui Patient Heart Fund telah diluluskan dan pihak hospital setuju menampung kos prosedur berjumlah RM18,000,” ujarnya penuh syukur.

Walau bagaimanapun, Azuzul berkata beliau kini masih lagi menjalani pemeriksaan secara berkala di hospital tersebut untuk memastikan kesihatannya dalam keadaan baik.

“Selepas jalani prosedur berkenaan pada bulan April lalu, pihak hospital juga datang ke rumah untuk melakukan pemeriksaan,” katanya yang baru disahkan sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR