Belanja lebih RM232 juta selenggara skim perumahan negeri – Jagdeep

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang membelanjakan kira-kira RM232,419,480.25 bagi kerja-kerja penyeleggaraan lebih 50 skim perumahan di negeri ini sejak 2008.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kos tersebut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan bagi skim perumahan awam, perumahan swasta yang layak serta perumahan di bawah seliaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Antara alatan yang di pasang di taman permainan Rumah Pangsa Mak Mandin 1.

“Untuk makluman, sejak 2008, kita (Kerajaan Negeri) telah membelanjakan kira-kira RM178,858,934.57 dalam usaha menyelenggara skim-skim perumahan awam di negeri ini sehingga September lalu.

“Selain itu, untuk perumahan swasta, kita juga ada tabung untuk skim-skim yang layak melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP) yang mana sehingga sekarang sebanyak RM32,015,256.08 telah dibelanjakan.

“Bagi perumahan awam di bawah seliaan kedua-dua Majlis iaitu MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) dan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) pula kira-kira RM21,545,289.60 telah dibelanjakan,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kerja-kerja Menaiktaraf Taman Permainan dan Landskap Rumah Pangsa Mak Mandi 1, dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Jurutera Daerah Jabatan Kerja Saya Seberang Perai Utara (SPU), Ir. Shahfizan Md. Nor; Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Fakhurrazi Ibnu Omar serta Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan) SUK, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf taman permainan dan landskap bagi Rumah Pangsa Mak Mandin 1 menelan kos kira-kira RM199,944.70 yang telah siap sepenuhnya pada Ogos lalu.

Jagdeep singh Deo.

“Ini satu contoh yang baik di mana kita ada taman permainan yang cantik selaras dengan visi dan misi Pulau Pinang iaitu untuk menjadi negeri berfokuskan kekeluargaan hijau dan pintar yang akan menjadi inspirasi negara,” ujarnya.

Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf adalah melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki dan trek urutan refleksologi, penanaman pokok serta pemasangan alat-alat permainan yang bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penghuni di kawasan perumahan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga sedia mempertimbangkan permohonan Lip Chee untuk membina semula pasar awam, di sini dengan anggaran kos berjumlah RM1.5 juta.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita jangka kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada awal tahun depan,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD