Belanja RM 2,226,200 untuk bantuan ke IPT, bukti Kerajaan Negeri sentiasa hargai warga yang menyumbang bakti – TKM I

Admin

PADANG KOTA – Sebagai bukti Kerajaan Negeri sentiasa menghargai warganya yang banyak menyumbang bakti, menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang kepada Pulau Pinang, sejumlah
RM 2,226,200.00 diperuntukkan bagi bantuan kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam mahupun swasta di negara ini.

Pemberian bantuan tersebut membabitkan 2,218 pelajar bagi sesi kemasukan bulan September 2018.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap pemberian bantuan berkenaan akan menambahkan lagi semangat para pelajar untuk terus maju ke hadapan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Walaupun bantuan ini bukanlah seberapa nilainya, namun ianya merupakan salah satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penduduk Pulau Pinang kerana Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya.

“Para pelajar juga amat dihargai kerana anda adalah pelaburan jangka panjang bagi Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen, Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Hitam), Ong Ah Teong (ADUN Batu Lanchang) dan Ketua Penolong Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Nurshamshinaz Shamsuddin.

Sejumlah RM1,000 diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di IPT Semenanjung Malaysia dan RM1,200 (Sabah dan Sarawak).

Tambah Zakiyuddin, Pulau Pinang bukanlah negeri yang mempunyai sumber asli justeru, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menerajui pelbagai bidang di masa hadapan.

“Bagi tujuan tersebut, saya menyeru pelajar-pelajar ini untuk menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat belajar kelak,” seru beliau.

Bagi penerima, Nor Adilah Mohd. Nayan, 20, pemberian bantuan tersebut disifatkan sangat membantu kepada golongan sederhana seperti beliau.

“Masa masuk (semester satu) baru-baru ini memang banyak duit dah habis, jadi dengan bantuan RM1,000 ini bolehlah ‘ganti’ semula persiapan masuk tempoh hari,” jelas Adilah yang kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Manakala, bagi pelajar jurusan Farmasi, Ang Ming Xian, 20, berhasrat menyimpan dahulu duit berkenaan untuk perkara-perkara lain di masa depan.

Menurutnya, pemberian bantuan tersebut wajar dipuji walaupun tidak mampu menampung sepenuhnya perbelanjaan keseluruhan masuk ke IPT.

“Tempoh pengajian adalah empat tahun jadi bantuan ini saya simpan dahulu mungkin di masa hadapan saya lebih memerlukan duit ini,” ujar beliau kepada wartawan Buletin Mutiara.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI