Belanjawan 2020: Exco harap ‘khabar gembira’ dalam pembangunan perumahan Pulau Pinang

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik dan meluluskan beberapa projek penyelenggaraan perumahan negeri dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan 11 Oktober ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, terdapat empat senarai ‘idaman’ yang akan diusulkan kembali kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dipertimbangkan semula.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan mengutuskan semula surat kepada YB Zuraida (Kamaruddin) untuk mengulangi semula ‘senarai idaman’ tentang sektor perumahan Pulau Pinang.

“Melalui belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap ada berita gembira yang bakal diumumkan terutamanya membabitkan isu perumahan yang telah lama Pulau Pinang tidak mendapat manfaatnya.

“Pertama, kita (Kerajaan Negeri) mengharapkan lebih banyak rumah mampu milik pelbagai kategori yang bermula dari harga RM42,000 hingga RM300,000 akan dibina di Pulau Pinang.

“Sehingga kini, di pihak Kerajaan Negeri sendiri kita telah membina sejumlah 103,000 unit rumah mampu milik pelbagai kategori yang sedang dalam beberapa peringkat pelaksanaan.

“Selaras dengan Visi Penang2030, kita telah menyasarkan sejumlah 180,000 unit perumahan mampu milik bakal dicapai dengan harapan Persekutuan dapat sama membangunkan rumah-rumah (mampu milik) ini kerana Pulau Pinang telah sekian lama menunggu perkhabaran gembira tersebut,” ujarnya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Dua Residensi dekat Teluk Kumbar semalam.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi, Fakhurrazi Ibnu Omar (Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Dasar dan Pembangunan Bahagian Perumahan) dan Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff (Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengurusan Perumahan).

Bagi menjayakan hasrat tersebut, Jagdeep mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menimbangkan sebahagian daripada kutipan cukai tahunan yang diperolehinya diasingkan untuk tujuan sektor perumahan khasnya secara tetap seperti mana yang dilakukan di beberapa negara maju.

“Kita (Pulau Pinang) adalah pembayar cukai ketiga tertinggi di dalam negara iaitu hampir RM7 bilion setahun, tapi tidak menerima sebarang manfaat perumahan sejak kerajaan terdahulu.

“Rumah adalah asas penting kehidupan untuk setiap rakyat, jadi seharusnya sebahagian kutipan cukai ini diasingkan untuk tujuan tersebut khasnya,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Selain daripada keutamaan pembekalan rumah, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri juga acap kali menyuarakan keutamaan kepada isu penyelenggaraan, itupun Pulau Pinang sejak tahun 2008 turut dianak tirikan.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri sendiri telah mengeluarkan peruntukannya melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang mencecah RM231 juta.

“Justeru diharap belanjawan yang akan dibentangkan di peringkat nasional Jumaat ini turut merangkumi projek penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak khasnya untuk Pulau Pinang bernilai hampir RM100 juta yang masih belum diluluskan sehingga kini,” ujarnya.