Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang: Apakah yang rakyat harapkan?

MENJELANG perbentangan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang yang dijangka esok, Buletin Mutiara sempat mengadakan tinjauan bagi mendapatkan pandangan dan harapan rakyat.

 

Rata-rata mengharapkan belanjawan yang dibentangkan bersifat peduli rakyat di samping dapat memberi faedah dalam jangka panjang.

 

SUHAINI Irda Mohd. Nazir

Bagi SUHAINI IRDA MOHD. NASIR, 36, berharap dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan dapat menyediakan peluang dan ruang bagi membantu golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

 

“Misalnya menyediakan skim latihan keusahawanan yang bersesuaian kepada golongan belia yang berpotensi atau berminat untuk menjadi usahawan pada masa hadapan.

 

“Selain memberi pendedahan (keusahawanan) kepada mereka, kerajaan juga boleh menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk insentif mahupun latihan supaya usahawan dapat memajukan perniagaan sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi.

 

“Saya percaya melalui pendedahan dan peluang yang disediakan, kita dapat melahirkan generasi muda yang berjaya sekaligus dapat menyumbang kepada sebahagian pendapatan negara,” ujarnya yang merupakan Pengarah Urusan di She’s Beauty Spa & Salon yang terletak di The Palazzia, Jalan Bukit Gambir.

 

RAJA.

Pemandu teksi eksekutif yang hanya mahu dikenali sebagai RAJA, 55, berharap Kerajaan Negeri dapat membantu menaikkan imej pemandu teksi di negeri ini selain menyediakan perlindungan insurans.

 

“Pulau Pinang memang terkenal sebagai destinasi pelancongan sama ada daripada dalam negara mahupun luar, cuma saya harapkan Kerajaan Negeri dapat membantu menaikkan imej kami di mata pelancong.

 

“Meskipun kini banyak perkhidmatan e-hailing yang ‘memeriahkan’ (sektor) pengangkutan awam, tetapi masih ada yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi.

 

“Dari sudut lain, sebagai pemandu teksi saya juga menghargai pemberian insentif RM600 setahun oleh Kerajaan Negeri dan berharap sekiranya boleh sediakan juga (pelindungan) insurans kepada kami atau naikkan kadar bayaran insentif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 

MOHAMMAD Noor Nadzir Mohamad Nasir.

Dalam pada itu, bagi MOHAMMAD NOOR NADZIR MOHAMAD NASIR, 27, berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan kelonggaran kepada mereka yang bujang untuk memiliki rumah.

 

“Saya puji inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini, malah, banyak projek-projek rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik sedang berjalan.

 

“Namun, saya berharap agar diberi kelonggaran kepada orang bujang seperti saya untuk memiliki rumah.

 

“Meskipun baru berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya sangat berharap dapat memiliki rumah sebelum berkahwin kerana saya ‘dengar’ orang bujang bukan keutamaan dalam permohonan rumah,” telahnya yang mahu memiliki Rumah Mampu Milik Jenis C2.

 

JOHARI Saad.

Sementara itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemui JOHARI SAAD, 48, yang merupakan orang kurang upaya penglihatan atau buta.

 

Beliau menyatakan harapan agar Kerajaan Negeri dapat menyediakan peruntukan khas kepada golongan kurang upaya sepertinya.

 

“Mungkin kami, Kerajaan Negeri dapat membantu dari segi kebajikan memandangkan kini keadaan ekonomi tidak yang tidak menentu dan kos sara hidup kian meningkat.

 

“Pendapatan kami sebagai tukang urut juga berkurangan tahun ini jika dibandingkan tahun sebelumnya dan memandangkan kudrat kami terbatas, kami hanya mampu bekerja sebagai tukang urut atau lain-lain pekerjaan yang menggunakan kemahiran tangan.

 

“(Dan) kami sangat menghargai bantuan kerajaan seperti menyediakan kemudahan dan bayaran khas OKU setiap tahun,” tambahnya yang bekerja di Pusat Urut Orang Buta di Jalan Sungai Ujong dekat George Town.

 

FINN Choong.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), DATUK FINN CHOONG pula menyatakan harapan agar perbelanjaan negeri dapat dikurangkan tahun hadapa berikutan prospek ekonomi semasa.

 

Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, pasaran ekonomi dijangka perlahan ekoran perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih berterusan dan telah menjejaskan industri perkilangan global.

 

“Pulau Pinang merupakan salah satu negeri yang maju dan perlu sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi dengan menjana pendapatan bagi memastikan industri di negeri ini kekal relevan.

 

“Jadi saya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan wajar termasuk memberi peruntukan yang munasabah dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif,” sarannya.