GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyambut baik Belanjawan 2020 Persekutuan yang mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk pembinaan sistem kereta kabel baharu ke puncak Bukit Bendera.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow secara umum menyifatkan bajet Persekutuan tersebut memberi beberapa insentif galakkan pelaburan asing serta tempatan, yang secara tidak langsung Pulau Pinang akan menikmati lebih banyak pelaburan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Peruntukan RM100 juta untuk projek kereta kabel Bukit Bendera adalah amat dialu-alukan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam kenyataan bertulis pada lewat petang 11 Oktober 2010.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata bahawa pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memulangkan 50 hasil kutipan levi pelancongan kepada negeri-negeri, akan memajukan lagi sektor pelancongan di Pulau Pinang.
Beliau turut menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan menyeragamkan caj tol Jambatan Kedua Pulau Pinang pada RM7, yang dijangka bakal menggalakkan penggunaan jambatan tersebut, sekaligus mengurangkan kesesakan trafik di Jambatan Pertama Pulau Pinang kini.
Di samping itu, Kon Yeow turut memuji Belanjawan kali ini kerana memberi perhatian terhadap transformasi digital, yang mana Pulau Pinang akan dapat menerima manfaat daripada perkhidmatan 5G.
“Fokus terhadap pendekatan ‘technical dan vocational training’ adalah tepat dan bakal melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan di negeri Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri akan meneliti Belanjawan 2020 dan bakal mengambil tindakan positif bagi memastikan Negeri Pulau Pinang menerima manfaat daripada langkah baik Belanjawan 2020,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Kira-kira jam 4.05 minit petang tadi, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika membentangkan Belanjawan 2020 Persekutuan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur antara lain menjelaskan peruntukan RM100 juta untuk projek pembinaan sistem keretapi kabel baharu di Bukit Bendera, mengambil kira rekod pengunjung yang dijangka melebihi kapasiti tempat perangai tanah tinggi terkenal tersebut.
“Perkhidmatan keretaapi funikular (atau kereta api cerun) di Bukit Bendera dijangka mencecah 2 juta penumpang setahun dan melebihi kapasiti.
“Kerajaan (Persekutuan) akan menyumbang kepada pembinaan sistem kereta kabel baharu ke Bukit Bendera dengan peruntukan sebanyak RM100 juta,” umumnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.
Difahamkan, Belanjawan 2020 Persekutuan yang dicadangkan dengan peruntukan RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion.
RM241 bilion adalah perbelanjaan mengurus, sementara baki RM56 bilion lagi adalah perbelanjaan pembangunan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB