Belanjawan 2020 Pulau Pinang bakal pastikan segala projek pembangunan, program-program kebajikan rakyat masih berjalan seperti biasa

Admin

BATU KAWAN – Cadangan belanjawan tahunan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi 2020 yang bakal dibentangkan pada awal bulan November ini mungkin masih secara defisit, tapi dalam skala yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata bahawa pentadbirannya akan memastikan segala projek pembangunan dan program-program kebajikan rakyat masih berjalan seperti biasa.

“(Cadangan belanjawan) defisit bukan defisit yang sangat besar, tapi kita (Kerajaan Negeri) perlu memastikan pembangunan masih berjalan, program-program sosial masih berjalan.

“(Pun begitu,) hasil, bukan mudah untuk tambah…. untuk meneroka hasil baharu, saya rasa tidak ketara (pertambahan) melainkan jenis hasil-hasil yang telah sedia ada,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi selepas merasmikan majlis pembukaan kilang Scandinavian Industrialized Building System (SIBS) Sdn. Bhd. di Taman Sains Pulau Pinang dekat sini pada 20 September 2019.

Turut berucap, Pengarah Urusan merangkap Presiden Kumpulan SIBS, Eric Thomaeus.

Menurut Kon Yeow, hasil kutipan tahunan yang dijangkakan dalam belanjawan akan datang pun mungkin tidak banyak berbeza dengan hasil kutipan bagi tahun 2018 dan 2017.

Tambah beliau, dalam belanjawan tahun bagi tahun 2017 menyaksikan anggaran defisit yang begitu tinggi adalah kerana Kerajaan Negeri memberi pinjaman untuk perbelanjaan pembangunan (CapEx) bagi projek-projek awam yang dilaksanakan oleh agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Tapi, dalam draf perbelanjaan pada kali ini, tidak ada lagi bentuk pinjaman (oleh Kerajaan Negeri kepada agensi negeri) sedemikian,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Mengulas lanjut, tambahnya, deraf Belanjawan 2020 Pulau Pinang baru dibentangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk proses pertimbangan lanjut, sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan pada November ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD