TANGGAL 18 Oktober 2024 ini, dijadualkan Y.A.B. Perdana Menteri bakal membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat. Pastinya ramai yang akan tertumpu garapan belanjawan terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025) kali ini sebelum melangkah ke Rancangan Malaysia yang baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap Belanjawan 2025, baik dalam kalangan penjawat awam, pemain industri sehinggalah kepada para peniaga.
Rata-rata responden yang ditemui berharap agar belanjawan kali ini memberi anjakan taraf hidup agar seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan perkembangan ekonomi semasa.
Menurut penjawat awam, MASTURA ZAKARIA, beliau berharap Belanjawan 2025 akan memberi sinar baharu terutama kepada penjawat awam di bawah lantikan skim perjawatan Contract For Service (CFS).
Besar harapan saya agar pihak kerajaan dapat perhalusi dan menambah baik skim perjawatan CFS ini di jabatan-jabatan kerajaan agar taraf hidup, kesejahteraan dan kebajikan dapat dipertingkat.
“Lagipun, rata-rata mereka di bawah lantikan skim ini…ada yang telah berkhidmat lebih 15 tahun namun tiada sebarang penambahbaikan dari segi kebajikan sejak sekian lama.
“Jadi saya berharap, belanjawan akan datang ini tidaklah meminggirkan lantikan di bawah skim CFS yang dianggap penting tetapi sebenarnya tidak didendang,” katanya.
Bagi Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), BENJI ANG MING QUAN, beliau mencadangkan agar pihak kerajaan dapat menyediakan peruntukan untuk pembangunan pempengaruh dalam pemasaran dan perniagaan.
“Mungkin kerajaan boleh menubuhkan sebuah yayasan yang membolehkan para pempengaruh yang kebanyakannya adalah belia, menceburi bidang pemasaran dan perniagaan, serta jadikan sebagai salah satu perusahaan.
“Secara tidak langsung, membuka peluang kerjaya dan membantu mempromosikan produk tempatan ke peringkat global.
Tidak hanya itu, saya berpandangan dengan menyediakan platform sebegini akan menggalakkan lebih ramai belia menyumbang idea dan beraktiviti.
“Pada masa sama, kerajaan boleh menyediakan mekanisme seperti pengecualian cukai kepada persatuan atau pertubuhan yang berdaftar di bawah ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) untuk membuka ruang pengembangan bakat tanpa perlu risau tentang kewangan (membayar cukai),” katanya.
Beliau yang mempunyai latar belakang perniagaan turut mengharapkan kerajaan mengkaji dan melihat cabaran pemilikan rumah pertama melalui skim sewa-beli terutama kepada golongan muda mudi.
Dalam pada itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, MOHAMAD NAZRI ABDUL LATIFF berharap Belanjawan 2025 turut memberi fokus terhadap pembangunan belia.
Saya menyambut baik segala usaha kerajaan dalam Belanjawan 2024 sebelum ini.
“(Dan) tahun hadapan, insentif untuk belia dalam bidang keusahawanan digital dan teknologi dapat diberi perhatian dengan sokongan kewangan serta latihan berkaitan.
Tidak hanya itu, peruntukan bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) ditingkatkan dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Malah, saya juga berharap lebih banyak dana diperlukan untuk bantuan perumahan mampu milik termasuk skim pembiayaan rumah pertama untuk belia.” katanya.
Selain itu, Mohamad Nazri berharap kerajaan dapat memberi tumpuan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan belia dan memberi ruang lebih luas kepada belia untuk sama-sama terlibat dalam proses pembuatan dasar.
“Misalnya memperkasa platform sedia ada seperti ‘Youth Parliament’, latihan kepimpinan dan program kenegaraan dalam mempersiap golongan belia untuk masa hadapan,” tambahnya lagi.
Pemilik rangkaian perniagaan Hungry Boy, TOMMY CHUAH memberitahu Buletin Mutiara bahawa pihak kerajaan harus meneliti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk semua segmen tanpa mengira kumpulan pendapatan.
Sebagai contoh, semua orang boleh berkongsi beban cukai daripada hanya menumpukan kepada mereka dari kumpulan isi rumah tertinggi atau T20.
“Saya faham pendirian kerajaan untuk mengurangkan beban golongan B40 tetapi mereka dari kumpulan M40 dan T20 akan terjejas.
“Kerajaan boleh pertimbangkan penyaluran bantuan kewangan melalui saluran, kembali kepada kumpulan B40 untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat kumpulan terbabit,” katanya.
Tuntasnya, rakyat mengharapkan Belanjawan 2025 bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup dari segi pendapatan mahupun rangka pembangunan, tetapi juga tumpuan terhadap mekanisme sokongan dan kelangsungan yang memerlukan perhatian serta tindakan proaktif dari pihak kerajaan.
Bagi auditor, R. SELVAM berharap kerajaan dapat membantu graduan yang tidak berkemampuan membayar balik pinjaman pendidikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya sedia maklum bahawa banyak rebat telah diberikan kepada peminjam, tetapi ada antara peminjam yang benar-benar berdepan cabaran komitmen yang tinggi dan kepayahan dari segi kewangan,” katanya.
Seorang pekerja pembersihan yang enggan namanya dipetik berpandangan bahawa insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah masih tidak mencukupi.
“Sewajarnya ada cara lain, mungkin tingkatkan jenis bantuan dan pemberian bersasar agar pekerja seperti kami ini dapat meneruskan hidp yang selesa, tambahan pula keadaan ekonomi sekarang ini pun tidak menentu dengan harga barangan mentah semakin mahal,” katanya.