GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) akhir tahun kepada 4,022 penjawat awam negeri ini sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa peruntukan berjumlah RM6.88 juta disediakan bagi bantuan BKK tersebut sahaja.
“Pemberian BKK ini juga dipanjangkan kepada Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anak syarikat Kerajaan Negeri, tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing,” jelasnya semasa membentangkan Belanjawan 2025 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri pada 22 November 2024.
Dalam kenyataan bertulis kemudiaan, Kon Yeow menjelaskan bahawa bayaran ‘bonus’ sejumlah RM300 turut akan dibayar kepada penyelia dan guru KAFA, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR, SABK, guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pembayaran BKK akan dibayar pada bulan Disember tahun ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT & SIEW CHIA EN