Belanjawan 2025 perkasakan peranan belia, RM700,000 melalui PYDC – Ketua Menteri

Admin
16b8ef55 bf4a 42f5 a881 7e3062c28755

GEORGE TOWN – Belanjawan 2025 Negeri Pulau Pinang akan terus memperkasakan peranan belia dengan peruntukan tahunan untuk sejumlah RM210,000.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memgumumkan perkara itu semasa membentangkan belanjawan tahunan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 22 November 2024.

“Pada tahun ini, sebanyak RM210,000 telah diperuntukkan kepada Jawatankuasa MMK Belia untuk melaksanakan program dan aktiviti pembangunan belia di negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Bukan setakat itu sahaja, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) memperuntukkan RM700,000 untuk pelaksanaan inisiatif strategik di bawah Rangka Kerja Pembangunan Belia Strategik 2024-2028, dengan memfokuskan kepada dua teras utama iaitu pembangunan kapasiti belia dan penglibatan komuniti.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bermula tahun 2025 akan dimulakan Program Tajaan Kerjasama dengan Syarikat Multinasional dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan kebajikan atlet dan kelangsungan program sukan baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Sehingga Oktober 2024, MSNPP telah memperoleh tajaan sebanyak RM368,150 daripada pelbagai penaja dan individu dalam bentuk kewangan, produk sertSa perkhidmatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Pulau Pinang yang telah mencapai kejayaan luar biasa dengan meraih 139 pingat, termasuk 41 pingat emas, 45 pingat perak dan 53 pingat gangsa dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak baru-baru ini.

“Sebagai penghargaan atas kejayaan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk menaikkan insentif pemenang pingat emas sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM4,000 kepada RM6,000,” ulasnya lanjut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU HMAD RADZI, DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT & SIEW CHIA EN