GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa eksport Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini memperlihat peningkatan signifikan sebanyak 7.5 peratus dengan nilai mencapai RM301.95 bilion.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan signifikan tersebut dilihat selepas eksport negeri pada tahun 2023 mencatatkan nilai RM434.74 bilion dengan penurunan sebanyak 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus kepada peningkatan daya saing dan pengukuhan rantaian bekalan yang akan menyokong pertumbuhan eksport negeri secara keseluruhan serta berterusan,” jelasnya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 22 November 2024.
Beliau menjelaskan bahawa 78.4 peratus daripada jumlah ekport negeri adalah berkaitan jentera dan kelengkapan pengangkutan, diikuti produk keluaran kilang serta bahan kimia.
Sementara sektor import negeri bagi tahun 2023 pula, Kon Yeow memberitahu bahawa ia mencatatkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan nilai RM285.08 bilion.
Pun begitu, menurutnya lagi, sektor import negeri bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan pemulihan secara ketara dengan peningkatan sebanyak RM214.27 ilion atau 17.4 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa jentera dan kelengkapan pengangkutan turut menjadi komoditi utama dengan mencatatkan 72.3 peratus daripada jumlah import negeri pada tahun 2023, diikuti oleh produk kimia dan barangan keluaran kilang.
Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Amerika Syarikat merupakan negara penyumbang utama pada jumlah eksport Pulau Pinang, sementara Republik Rakyat China pula sebagai sumber import terbesar negeri ini.
Difahamkan, 20.4 peratus daripada sektor import negeri Pulau Pinang adalah dari Amerika Syarikat, diikuti China (18.7 peratus), Hong Kong (13.9 peratus), Taiwan (6.1 peratus) dan Vietnam (5.4 peratus).
Manakala, China merupakan sumber import terbesar Pulau Pinang yang berjumlah 22.6 peratus, diikuti Taiwan (17.8 peratus), Amerika Syarikat (13.5 peratus), Jepun (8.8 peratus) dan Singapura (6.3 peratus).
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU HMAD RADZI, DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT & SIEW CHIA EN