GEORGE TOWN – Golongan belia dan warga kerja agensi kerajaan khasnya disarankan supaya menyertai Askar Wataniah dalam usaha membina rejimen ketenteraan yang aktif dan sepakat, titah Y.T.M. Tunku Temenggong Kedah Brigadier Jeneral Dato’ Sri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Tunku Temenggong Kedah yang juga Komander Rejimen 509 Askar Wataniah (AW) Pulau Pinang bertitah demikian pada Upacara Penutup Latihan Kem Tahunan Rejimen 509 AW yang diadakan di pangkalan Rejimen 509 AW dekat Lebuhraya Peel di sini pada 23 Oktober 2020.
Menurut titah, Tunku Temenggong Kedah menyeru bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga anak watan Pulau Pinang khasnya untuk bersama-sama menjadikan Askar Wataniah sebagai platform terulung berkhidmat untuk negara.
Saya percaya dengan hala tuju yang jelas dan latihan yang telah dirangka, Rejimen 509 mampu melahirkan anggota angkatan tentera yang terbaik.
“Saya juga percaya dengan komitmen individu serta minat dan usaha untuk menyahut cabaran mendalami ilmu ketenteraan bukan sahaja berguna kepada diri sendiri tetapi juga keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” titah Tunku Temenggong Kedah.
Meskipun negara kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan penularan semula COVID-19, Tunku Temenggong Kedah menyeru agar semua rakyat memainkan peranan masing-masing dengan membantu kerajaan mempraktikkan normal baharu.
“Keadaan (normal baharu) ini termasuk dalam latihan ketenteraan seperti yang dilaksanakan oleh Rejimen 509 yang mana saya bangga apabila kem latihan tahun ini mendapat penyertaan 40 pegawai dan 120 anggota sukarelawan.
Saya yakin latihan ini adalah untuk anggota angkatan sukarela sentiasa bersiap siaga, kompeten dan berupaya diaturgerakkan sepanjang tahun apabila diperlukan.
“Malah, melalui latihan ini, peningkatan kemahiran individu serta semangat berpasukan dapat diadaptasikan dengan situasi terkini yang menuntut penjagaan kesihatan meskipun menjalan latihan ketenteraan,” titah baginda lagi.
Terdahulu, keberangkatan tiba Tunku Temenggong Kedah disambut dengan pertunjukan khas oleh Kumpulan Naga Merah.
Timbalan Komander Rejimen 509 AW Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Hizral Kamal Othman Kamal dan Setiausaha Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Kehormat, Datuk Yaacob Md. Saad antara yang mengiringi Tunku Temenggong Kedah sepanjang upacara penutup tersebut.
Tunku Temenggong Kedah turut mencemar duli pada acara pemakaian pangkat kepada Kapten Mohd. Syamir Nasrudin dan Leftenan Muda Rijal Safwan Ridzuan serta berkenan menyampaikan penghargaan kepada pemenang latihan kem yang diadakan.
Batalion 1 telah dinobatkan sebagai Batalion Terbaik dan berjaya merangkul Piala Pusingan Rejimen pada upacara penutup tersebut.
Turut menerima penghargaan adalah 100 anggota angkatan sukarela yang diaturgerakkan bagi membantu PDRM dalam Operasi Penawar di sekitar Pulau Pinang pada April 2020 dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Diakhir upacara penutup, Tunku Temenggong Kedah berkenan melawat ke ruangan galeri dan merakam gambar kenangan bersama-sama anggota tertinggi Rejimen 509 AW, JAKPAW serta penerima pengiktirafan sumbangan berterusan kepada Angkatan Sukarela dan Rejimen AW, Profesor Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Fhn Ah Seng.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD