Belum ada permohonan kelulusan bagi projek asrama pekerja berkapasiti 20,000 di Teluk Kumbar

img 20240109 wa0040

GEORGE TOWN – Belum ada sebarang permohonan kelulusan berhubung cadangan pembinaan projek asrama pekerja berkapasiti lebih 20,000 pekerja dekat Teluk Kumbar setakat ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa projek yang mendapat permohonan kebenaran merancang ketika ini adalah pembinaan asrama pekerja berkapasiti 7,000 pekerja yang juga dicadangkan dibina di Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

“Saya minta pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberikan taklimat berhubung projek ini kepada YB Dato’ Azrul Mahathir Aziz (Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas) dan badan bertindak berhubung dengan projek asrama pekerja ini.

“Semalam, saya sendiri ada berjumpa dengan rombongan dari Barisan Nasional (Umno) Balik Pulau yang mana saya menerangkan bahawa projek berkapasiti 20,000 orang yang mendapat bantahan adalah projek yang belum diluluskan lagi.

“Setelah mendapat penerangan, mungkin petang ini wakil Umno akan menyampaikan maklumat sebenar kepada penduduk,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bil. 1 2024 dekat Komtar di sini pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa.

Menyentuh mengenai bantahan terhadap projek berkapasiti 7,000 orang, Kon Yeow menyatakan bahawa kelulusan yang diberikan adalah berdasarkan proses undang-undang.

“Bantahan sudan pun berlaku pada peringkat kebenaran merancang tetapi ketika itu hanya melibatkan lot-lot kejiranan,” katanya.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunam Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, semua rancangan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di negeri ini termasuk di Teluk Kumbar adalah selari dengan piawaian yang ditetapkan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, Pulau pinang merupakan sebuah negeri industri dan menempatkan kilang-kilang multinasional (MNC) yang perlu mematuhi syarat-syarat antarabangsa termasuk penginapan kepada pekerja.

“Keperluan asrama pekerja adalah selari dengan amalan antarabangsa di mana syarikat-syarikat di Malaysia khususnya MNC perlu membuktikan bahawa mereka memenuhi piawaian antarabangsa berhubung dengan penginapan kepada pekerja masing-masing.

“Sebelum ini, kita tidak mempunyai sebarang rancangan mengenai asrama pekerja menyebabkan pekerja asing tinggal secara berselerak di pelbagai kawasan penginapan termasuk di taman-taman perumahan dan lain-lain.

“Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya kacau ganggu kepada masyarakat setempat yang memerlukan tindakan daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Jadi, dengan adanya asrama pekerja ini akan menjadi satu alternatif yang baik dari segi tempat penginapan dan kemudahan-kemudahan yang ada demi mematuhi piawaian antarabangsa,” jelasnya lagi.

Mengambil contoh pembinaan asrama pekerja asing di kawasan perindustrian Batu Maung, Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut juga pada awalnya mendapat bantahan penduduk setempat tetapi telah diterima baik selepas ia siap sepenuhnya.

“Selepas beroperasi, penduduk dapat melihat bagaimana asrama ini dikendalikan dengan baik dari segi aliran trafik serta kemudahan yang ada memenuhi kehendak pekerja yang tidak memerlukan mereka keluar bercampur dengan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri ketika ini sedang melaksanakan beberapa projek asrama pekerja khususnya di lokasi-lokasi penting di Seberang Perai.

“Kita berharap agar pihak pemaju atau pencadang memilih lokasi yang lebih sesuai,” katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga tidak lagi akan mengeluarkan permit sementara bagi kuarters pekerja asing sebagai langkah peralihan kepada asrama pekerja yang sah.

“Ini bermaksud, semua masalah yang timbul sebelum ini seperti di taman-taman perumahan dan kawasan-kawasan komersial boleh ditangani.

“Jika tidak akan sentiasa ada aduan mengenai masalah ini sekiranya kita tidak menyediakan asrama yang khusus untuk pekerja asing,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI