Bencana 4 November serlah semangat kemanusiaan pulih semula Pulau Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

DI sebalik bencana ribut taufan, lambakan air hujan terlalu banyak diikuti banjir besar yang melanda beberapa kawasan sekitar negeri Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lalu, begitu banyak hikmah serta pengajaran boleh diambil oleh semua pihak.

Salah satunya, menurut PHEE BOON POH adalah semangat kemanusiaan pelbagai pihak membantu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memulihkan semula keadaan pasca bencana.

“ Warga Malaysia telah menunjukkan macam mana kita boleh bersama-sama kongsi kaya, yang mana boleh bantu apabila ada bencana.

“Kami (Kerajaan Negeri) juga mendapat banyak sumbangan, bukan hanya daripada bahanbahan perumahan atau peralatan perumahan, tetapi juga tenaga manusia untuk mencuci,” katanya yang merupakan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar dalam satu wawancara dekat Pusat Pengumpulan Bekalan Bantuan Mangsa Banjir di Dewan Silver Jubilee Home dekat Sungai Dua di sini baru-baru ini.

Boon Poh berkata, Kerajaan Negeri senantiasa akan mengenang jasa pentadbiran Silver Jubilee Home kerana menawarkan dewan serbaguna pusat rumah orang tua itu sebagai tempat transit segala bantuan barangan dan makanan sepanjang tempoh pemulihan semula kawasan pasca bencana baru-baru ini.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada dua pihak iaitu Silver Jubilee Home yang rela membenarkan Kerajaan Negeri
menggunakan dewan ini, sebagai depo sementara, dan juga Bomba Sukarela Raja Uda.

“Akan tetapi, bagi pihak Kerajaan Negeri, yang mana ada kekurangan, kerana ini terlampau massive, ada apa kurang, saya minta maaf,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dalam nada sederhana.

Difahamkan, dekat sini lebih 10 sukarelawan dari Penang Adventurers’ Club menguruskan depo sementara di Dewan Silver Jubilee Home di sini.

TAJMA BEE IBRAMSA, 68, merupakan salah salah seorang sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang ditemui di depo sementara berkaitan.

Katanya, rata-rata sukarelawan di sini sudah berstatus warga emas atau pesara, walaupun beliau sendiri mengaku memerlukan lebih ramai tenaga muda.

Bagaimanapun menurut Tajma Bee, beliau bangga kerana masih diberi peluang oleh Presiden Penang Adventurers’ Club, WONG PANG KONG untuk menyertai pergerakan sukarelawan di sini.

“Saya amat-amat rasa, orang kata, besaq hati lah pasai (apa) bila banjir saja, semua orang turun bantu, tidak kira usia, tidak kira apa-apa kategori, semua turun mai bantu.

“Kita mendapat, orang kata, rezeki yang melimpah ruah daripada orang-orang Pulau Pinang, tidak kira apa-apa kategori
bangsa dan agama,” jelasnya.

Sebelum itu, Pang Kong, juga seorang pesara menyatakan bahawa beliau secara individu sahaja mahu menawarkan diri sebagai sukarelawan.

Namun, apabila mendapati begitu banyak tenaga diperlukan untuk mengurus bekalan masuk dan keluar dari depo sementara di sini, akhirnya beliau memanggil beberapa orang lagi kenalan lain.

“ Akhirnya, kita ada 10 sukarelawan, sesetengah mereka datang bekerja, (selepas) mereka mengambil cuti daripada kerja mereka.

“Wah…begitu banyak kerja nak dibuat, sampai ada yang bercakap: Kenapa tidak lebih banyak orang bekerja di sini?

“Kita menerima (sukarelawan) wanita, maka, mereka boleh buat lebih banyak kerja.

“Untungnya juga, kita ada beberapa pemuda, termasuk pesara, namun setiap hari kita buat kerja (sukarelawan).

“Kerja-kerja sukarelawan ini sangat bagus, (sekurangkurangnya) jadi pengalaman untuk kami,” katanya.

Pekerja-pekerja Silver Jubilee Home turut bekerja sebagai sukarelawan di sini.

Mereka, A. PUMADEVAN, 38, dan P. RAJENANTHAN, 40. Pumadevan berkata, sejak hari bencana 4 November lalu, tidak putus-putus lori besar menghantar bekalan bantuan ke depo sementara di sini.

“Masa banjir, kami dapat tolong. Ramai hantar barang, datang sini, dari Jepun pun ada hantar baju,” ujarnya.

Rajenanthan turut berkongsi pengalaman menurun serta menaikkan barang-barang bantuan dari depo sementara di sini, ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat bencana.

“Kita buat bantuan, kita hantar barang. Semua lori datang dari Butterworth, dari Kedah.

“Semua kita (membantu) naik(kan) semua barang (ke dalam lori) hantar pi rumah orang, banjir punya tempat,” jelasnya.