Bendera Pulau Pinang separuh tiang penghormatan terakhir buat Tun Abdullah

whatsapp image 2025 04 18 at 12.19.04 Beberapa premis milik kerajaan dan bukan kerajaan yang mengibarkan bendera Pulau Pinang separuh tiang hari ini.

SEMUA premis milik kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri mengibarkan bendera Pulau Pinang separuh tiang hari ini sebagai tanda penghormatan terakhir atas pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tinjauan Buletin Mutiara di bahagian pulau dan Seberang Perai mendapati bahawa bendera separuh tiang dilihat telah berkibar di bangunan milik kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Selain itu, premis milik agensi kerajaan termasuk Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pos Malaysia, Dewan Sri Pinang dan lain-lain turut berbuat demikian.

Beberapa rumah ibadat seperti Masjid Negeri Pulau Pinang dan Gurwara Sahib Butterworth serta bangunan bukan kerajaan seperti Sunway Hotel juga tidak ketinggalan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah dengan melakukan tindakan yang sama.

whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.27 (2)whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.26 (2)whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.08 (1)whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.08whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.26whatsapp image 2025 04 18 at 11.27.08 (2)

Pada 16 April lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam kenyataan memberitahu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju agar bendera negeri dikibarkan separuh tiang pada hari Jumaat (18 April 2025) sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah.

“Pengibaran bendera negeri separuh tiang dilaksanakan membabitkan semua premis kerajaan dan PBT di seluruh negeri.

“Malah, pemilik-pemilik premis bukan kerajaan juga diseru untuk berbuat demikian sebagai tanda penghormatan kepada Tun Abdullah,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, cadangan tersebut adalah signifikan dalam menghargai jasa dan bakti Tun Abdullah dalam membawa pembangunan kepada negeri Pulau Pinang sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Kelima dari tahun 2003 hingga 2009.

“Sebagai anak jati Pulau Pinang kelahiran Bayan Lepas, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan ‘hadiah’ terbesar Allahyarham Tun Abdullah kepada penduduk Pulau Mutiara.

“Beliau telah mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) di Parlimen pada tahun 2003.

“Impaknya, jambatan kedua telah merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya,” katanya.

Kon Yeow berkata, Tun Abdullah juga telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004, dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Oktober 2004.

“Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016.

“Justeru, Kerajaan Negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” ujarnya.

Kon Yeow berkata, selain Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Bandar Cassia, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran Tun Abdullah.

“Antaranya, termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion, pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

“Justeru, pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya negeri Pulau Pinang.

“Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Kepala Batas ditukar kepada nama MRSM Tun Abdullah Badawi.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya sudah meminta pihak pengurusan Mara menyediakan kertas cadangan bagi penukaran nama itu kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadap Mara.

“Antara justifikasi penting bukan sahaja mengenang jasa Almarhum Tun Abdullah atau Pak Lah selaku bekas Perdana Menteri Malaysia.

“Bahkan, zaman beliaulah agenda Ulul-Albab ini mula diperkenalkan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik bukan sahaja dalam ilmu sains dan teknologi tetapi menguasai Al-Quran di bawah dasar Islam Hadhari.

“Sebab itulah Pak Lah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya dalam satu dipetik.

Terdahulu, Allahyarham Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin lalu dan selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara pada Selasa.

Allahyarham sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari tahun 1978 hingga 2008.

Oleh : M. DANESWARAN

Gambar : LAW SUUN TING & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS