Bengkel AI Generatif, usaha transformasi digital dalam perkhidmatan awam

Admin
20250220 165920

BAYAN LEPAS – Meneroka Kecerdasan Buatan (AI) Generatif bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi malah mempercepat proses pembuatan keputusan di samping memperkasa serta menyokong usaha transformasi digital dalam pasukan bomba dan penyelamat.

Itu adalah antara matlamat Bengkel AI Generatif anjuran Majlis Pembangunan dan Transformasi Pendidikan dan GreenoNetics Malaysia bersama-sama anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dekat sini.

Presiden Majlis Pembangunan dan Transformasi Pendidikan (MPTP), Dr. Lee Eng Wah berkata, matlamat utama adalah untuk memastikan para profesional dalam sektor awam negara bersedia dengan teknologi AI terkini bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan GreenoNetics Malaysia dalam penganjuran bengkel ini,” katanya.

Ketua Jurulatih GreenoNetics Malaysia, Tan Shien Khai memberitahu bahawa dengan persekitaran kerja pasukan bomba yang penuh tekanan yang mana setiap saat amat berharga.

AI Generatif membantu meringankan beban tugas, meningkatkan kecekapan operasi dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada misi utama iaitu menyelamatkan nyawa.

“(Dan) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ke arah transformasi digital, GreenoNetics Malaysia akan terus menawarkan latihan dan bengkel AI untuk pelbagai sektor.

“Program-program dalam bengkel ini akan memperkukuh literasi digital tenaga kerja serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan melalui penyelesaian AI,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Martin’.

Sementara itu, Penguasa Bomba Zon 2, Mohd. Rizuan Ramli berkongsi bahawa bengkel tersebut telah memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknologi terkini yang mampu menyokong perkhidmatan bomba dan penyelamat.

“Integrasi AI dalam kerja harian kami akan membantu meningkatkan keberkesanan operasi dan kesiapsiagaan,” katanya.

Difahamkan, antara program yang diadakan dalam bengkel yang disertai kira-kira 20 anggota tersebut adalah penulisan laporan, menjana idea dalam perancangan strategik dan pembentangan berkesan.

Gambar : MPTP