Bengkel, jawatankuasa pemandu muktamadkan syor perubahan jajaran LRT Laluan Mutiara – Ketua Menteri

Admin
6fe67fb6 bde8 4c67 af54 88054232cc87 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai menyertai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Balai Rakyat Jalan Patani pada 2 Mei 2024.

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan mengadakan bengkel dan menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi memuktamadkan syor perubahan jajaran projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menjelaskan hasil perbentangan MRT Corp dalam mesyuarat bersama-sama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri pada petang semalam (2 Mei 2024).

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu menjelaskan, taklimat berkaitan diadakan susulan Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan permohonan pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara baru-baru ini.

“(Dalam kunjungan hormat tersebut) MRT Corp. melakukan kerja-kerja teknikal dan mencadangkan sedikit pindaan pada pelan asal yang disediakan SRS Consortium dan juga (cadangan jajaran) penyambungan ke Penang Sentral (dekat Butterworth).

“Mesyuarat menerima taklimat ini dan sebagai maklum balas, Kerajaan Negeri cadangkan sebuah jawatankuasa pemandu ditubuhkan atau suatu bengkel diadakan untuk memuktamadkan jajaran (projek LRT Laluan Mutiara),” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Balai Rakyat Jalan Patani di sini pada 2 Mei 2024.

Menurutnya, proses memuktamadkan jajaran projek rel awam negeri itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan kerja-kerja teknikal berkaitan yang lain seperti isu pengambilan tanah, lokasi stesen dan sebagainya.

“Sebuah jawatankuasa pemandu akan ditubuhkan bagi membawa (cadangan jajaran) Kerajaan Negeri dan pihak MRT Corp. serta lain-lain agensi untuk memantau projek (LRT Laluan Mutiara nanti),” ujarnya sambil memberitahu bahawa suatu bengkel akan diadakan dengan penglibatan semua pemegang taruh.

Kon Yeow menjelaskan perkembangan terbaru berhubung projek LRT Laluan Mutiara itu kepada pemberita usai menyertai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo di sini pada malam tadi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN