Bengkel kemahiran dan keusahawanan bantu B40 jana pendapatan

Admin
img 8379

TANJONG BUNGA – Bagi memperkasakan masyarakat yang kurang berkemampuan di sekitar kawasan Bukit Bendera, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera menganjurkan Bengkel Kemahiran dan Keusahawanan Pembuatan Kuih Raya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata adalah penting untuk menyediakan platform sebegini untuk komuniti yang berpendapatan rendah (B40) terutamanya dalam menjana pendapatan isi rumah.

img 8373
SYERLEENA turut serta mempelajari latihan pembuatan kuih raya baru-baru ini.

“Ekoran perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, sudah tentu banyak persiapan yang perlu dilakukan, dengan bengkel yang dianjurkan secara tak langsung mereka (peserta) dapat menimba ilmu baharu.

“(Dan) setelah berjaya serta yakin untuk membuat kuih sendiri, mereka boleh menjana pendapatan melalui hasil jualan yang diperoleh.

“Di samping itu, ilmu yang telah diperoleh sudah tentu berupaya menjadi batu loncatan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan serta menggunakan platform media sosial sedia ada untuk mempromosi produk masing-masing,” ujarnya ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian bengkel berkenaan baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Giatmara Bukit Bendera, Mohamad Fakarudin Md. Farok.

Mengulas lanjut, Syerleena turut memaklumkan bahawa pihaknya bakal menganjurkan lebih banyak program pada masa hadapan khususnya untuk komuniti setempat.

“Untuk makluman, saya lebih gemar program ke arah berorientasikan kekeluargaan kerana penglibatan ahli keluarga amat penting tidak mengira apa jua latar belakang.

“Justeru, sudah tentu pihak saya bakal menganjurkan lebih banyak lagi program latihan dan bengkel untuk membantu setiap masyarakat terutama sekali yang kurang berkemampuan

“Di samping itu, pejabat saya juga bakal menganjurkan Karnival Hari Raya menjelang 14 April 2024 ini, dijemput setiap penduduk untuk hadir memeriahkan majlis,” serunya.

Difahamkan, bengkel tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 sehingga 31 Mac 2024 bermula jam 11.30 pagi bertempat di Giatmara Bukit Bendera melibatkan seramai 21 individu daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI