Bengkel Pemantapan Seni Visual & Batik diharap beri nilai tambah kepada pelajar SPM

Admin

BATU MAUNG – Kreativiti dan kesenian bukan lagi perkara asing, malah ia merupakan elemen yang turut diberi penekanan dan dititik beratkan kepada pelajar-pelajar di Pulau Pinang agar menguasai sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian dan matematik (STEAM).

 

Menyedari kepentingan itu, Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Abdul Halim Hussain mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Pemantapan Seni Visual & Batik khusus untuk para pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

 

Menurut Abdul Halim, kebiasaannya orang seni merupakan seorang yang kreatif, ia bukan sahaja mampu mereka cipta sesuatu yang luar biasa malah berinovasi tinggi.

 

“Di Pulau Pinang, bukan sahaja para pelajar perlu menguasai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, tetapi sejak dua tahun lalu kita (Kerajaan Negeri) mula menumpukan elemen seni sebagai suatu bidang yang berpotensi untuk digarap,” ujarnya ketika hadir merasmikan bengkel berkaitan dekat Penang War Museum, di sini pada 6 April lalu.

 

Hadir sama Pengasas dan Pemilik Penang War Museum, Johari Shafie dan Cikgu Ismail Ahmad iaitu seorang pesara guru yang berpengalaman lebih daripada 30 tahun yang juga penyemak kertas Pendidikan Seni bagi SPM.

 

Pada penganjuran berkaitan, seramai 30 pelajar dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung dan Negeri Sembilan berpeluang mempelajari teknik menghasilkan batik ikat dan celup.

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawan berharap bengkel tersebut mampu memberikan nilai tambah kepada kreativiti pelajar sekaligus menepati kehendak soalan SPM.

 

“Dengan ilmu dan pengetahuan yang dipunyai Cikgu Ismail, saya seru semua pelajar ambil kesempatan ini tumpukan sepenuh perhatian dan lakukan yang terbaik pada peperiksaan nanti,” ujarnya.