Bengkel Wanita Gerak @Seberang Perai, sasar tingkatkan kapasiti wanita dalam komuniti lokal

Admin
whatsapp image 2024 09 09 at 11.31.46

GEORGE TOWN – Menyasarkan untuk membina kapasiti wanita dalam komuniti lokal, Persatuan Kebajikan Lingkaran Harapan berganding bahu dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menganjurkan Bengkel Wanita Gerak @Seberang Perai bermula 12 Oktober sehingga 24 November 2024.

 

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, penganjuran bengkel tersebut adalah sebahagian daripada Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah Think City Sdn. Bhd. (Think City) untuk meningkatkan taraf hidup komuniti lokal dengan membangunkan semula bandar kecil.

 

“Bengkel ini dirangka khas untuk golongan wanita supaya dapat memimpin dan mengurus dengan lebih efektif terutamanya dalam projek-projek lokal berasaskan ekonomi.

 

Bengkel ini juga mempersiap wanita untuk melibatkan diri secara aktif dalam komuniti bagi menjana pendapatan tambahan.

 

“Sesi (bengkel) ini akan dijalankan secara interaktif dan pragmatik bagi mencetus idea mencari peluang untuk menjana pendapatan dalam kalangan komuniti lokal,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

whatsapp image 2024 09 09 at 11.31.47 (1)
LIM Siew Khim ketika mempengerusikan sidang media di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Sze yang juga Ahli Lembaga Pengarah PWDC; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng; Pengerusi Think City, Dato’ Seri Anwar Fazal; Pengerusi Persatuan Kebajikan Lingkaran Harapan, Nurfarah Zafirah Foo Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Dato’ Rohana Abdul Ghani serta wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan rakan kerjasama strategik Bengkel Wanita Gerak.

 

Mengulas lanjut, Siew Khim memaklumkan bahawa penganjuran bengkel pemerkasaan komuniti tersebut juga adalah seiring dengan portfolio yang dipertanggungjawab di bawah portfolio Pembangunan Sosial.

 

Ini sekali gus memastikan keseimbangan pembangunan dan pemerkasaan komuniti supaya menepati agenda pentadbiran Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

“Malah, ia juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan iaitu ‘Leaving No One Behind’ terutama matlamat ‘Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita’.

 

“Saya percaya kerjasama (antara Persatuan Kebajikan Lingkaran Harapan, PWDC dan Think City) ini mampu memberi impak kepada para peserta dari segi pemerkasaan kapasiti sekali gus merapatkan jurang gender,” katanya.

whatsapp image 2024 09 09 at 11.31.47
ANWAR Fazal.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai Program Geran Pekan Kecil berkata, pihaknya menerima lebih 250 permohonan membabitkan 70 pekan kecil dan kejiranan di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

 

“Inisiatif ini menerima sambutan luar biasa dan ia bertujuan untuk menghidupkan semula atau memberi nafas baharu kepada pekan-pekan kecil dan kawasan kejiranan di Seberang Perai.

 

Matlamat Think City bukan sahaja melaksanakan pembangunan fizikal (bangunan) tetapi juga membangunkan komuniti dan memperkasa gender ke arah pertumbuhan mampan berjangka panjang.

 

“(Dan) Seberang Perai mempunyai ‘permata tersembunyi’ sama ada dari segi sejarah, budaya dan juga komuniti lokal,” jelasnya yang kemudian menandatangani memorandum persefahaman bersama-sama PWDC di sini.

whatsapp image 2024 09 09 at 11.31.46 (1)
LIM Siew Khim (tengah) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara PWDC dan Think City usai sidang media di sini.

Terdahulu, Siew Khim memberitahu bahawa sebanyak lapan sesi Bengkel Wanita Gerak @Seberang Perai akan diadakan dengan sasaran 60 peserta wanita untuk setiap sesi di empat lokasi merangkumi seluruh Seberang Perai.

 

Antara modul yang akan diketengahkan adalah pengucapan awam; kepimpinan wanita; jana pendapatan komuniti dan gender.

 

Yuran sebanyak RM20 dikenakan bagi setiap pendaftaran yang mana peserta akan menerima baju kemeja-t, sijil penyertaan dan wang pulangan tunai RM10 pada hari bengkel.

 

Maklumat lanjut, sila hubungi talian 04-261 2835 atau imbas kod QR pada risalah di bawah : 

poster gerak wanita final 1

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT