Bentang usul kosongkan empat kerusi DUN 6 Mac – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bakal membentangkan usul bagi mengosongkan kerusi diwakili empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 6 Mac 2023.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usul tersebut akan dibentangkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Perkara 14A  Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sahih.

 

“Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa klausa-klausa dalam perlembagaan negeri yang melarang seseorang ADUN dipilih keluar parti adalah sahih,” ujarnya.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menjawab soalan yang diajukan pemberita itu pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 20 Februari 2023.

 

Empat ADUN dimaksudkan ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khalid Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

 

Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman empat ADUN berkenaan terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker DUN berhubung usul yang dibentangkan pada Oktober 2020 supaya mengosongkan kerusi masing-masing, sebelum ini.

 

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN itu hendaklah mengosongkan kerusi sekiranya telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN