KUCHING – Pulau Pinang merangkul satu lagi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 dalam acara lompat jauh menerusi Tan Zhi Hang.
Dalam acara yang berlangsung di Stadium Sarawak awal.pagi ini, Zhi Hang membuat lompatan sejauh 7.16 meter (m) sekali gus menewaskan semua pencabar untuk meraih pingat emas.
Pingat perak bagi acara ini dimenangi atlet dari Sabah manakala atlet tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Zhi Hang memberitahu bahawa dia berdepan persaingan yang sengit dengan jarak lompatan juga antara ketiga-tiga mereka agak rapat.
“Saya gembira dapat meraih pingat emas namun sedikit kecewa kerana gagal memecahkan rekod peribadi terbaik yang pernah saya lakukan sebelum ini iaitu 7.39m,” katanya.
Zhi Hang berkata pada temasya Sukma di Kuala Lumpur dua tahun lalu dia mewakili Pulau Pinang dalam acara lompat tinggi namun mempamerkan persembahan yang agak kurang memuaskan.
“Kemudia saya cuba beralih ke acara lompat jauh dan mula menyertai beberapa kejohanan bermula Julai tahun lalu dan mampu mencapai prestasi yang lebih baik.
“Saya juga tidak bersepan masalah dalam larian jadi tidak sukar untuk saya menyesuaikan diri dalam acara lompat jauh.
“Tambahan pula, keluarga dan jurulatih memberikan sokongan yang padu kepada saya jadi peralihan tersebut berlaku dengan sangat lancar,” katanya yang berharap agar latak untuk beraksi di Sukan SEA kelak.
Pada saingan kali ini, skuad olahraga Pulau Pinang menunjukkan aksi cemerlang dengan mengumpul lima pingat emas, tiga perak dan satu gangsa secara keseluruhannya.
Jumlah itu adalah melebihi sasaran kutipan pingat emas yang ditetapkan sebelum ini iaitu tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Terdahulu, skuad olahraga menyumbang pingat emas menerusi Muhammad Sayyid Amin Roslan dalam acara 200m dan Zhen Han Quaik dalam acara dekalton.
Dua lagi pingat emas dimenangi semalam menerusi Sriven Tan dalam acara lumba jalan kaki 10,000m dan Melissa En Xuan Choong yang mendominasi acara heptatlon.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN