Beras Cap Feri bakal beri manfaat kepada golongan B40

Admin
dev 2174

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang merancang untuk mengeluarkan beras tempatan jenama sendiri yang akan dinamakan sebagai Beras Cap Feri dengan harga yang lebih murah.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata pengeluaran Beras Cap Feri adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam menjamin bekalan makanan di negeri ini.

“Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk membekalkan beras putih tempatan yang berharga murah berbanding yang ada di pasaran.

“Pengeluaran Beras Cap Feri ini akan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu Kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan beras putih tempatan dengan harga lebih murah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu bahawa perkara tersebut telah dipersetujui melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diadakan pada 20 Mac lalu.

“Sehubungan dengan itu, mesyuarat jawatankuasa pemandu beras Pulau Pinang telah diadakan pada 25 Mac 2024 melibatkan beberapa jabatan dan agensi terlibat bagi membincangkan pelaksanaan proses pengeluaran Beras Cap Feri ini.

“Antaranya, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institu Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepoadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Bahagian Kawal Selia Padi Beras,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara pagi tadi.

Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, Beras Cap Feri dijangka dapat dipasarkan di seluruh negeri Pulau Pinang dalam tempoh dua bulan lagi.

“Keutamaan pemasaran akan diberikan kepada FAMA negeri Pulau Pinang yang juga merupakan badan pelaksana bagi projek beras Pulau Pinang ini.

“Melalui mesyuarat jawatankuasa pemandu beras Pulau Pinang yang lepas, saya juga telah bersetuju jualan fasa awal akan dilakukan di premis-premis milik FAMA dan LPP terlebih dahulu seperti Agrobazaar FAMA dan Peladang Outlet,” ujarnya.

Menurut Fahmi, setakat hari ini Kerajaan Negeri telah mengadakan rundingan dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat belian terus hasil padi daripada PPN.

“Selepas itu beras akan diproses untuk dijadikan Beras Cap Feri, dan ini juga bermakna beras Beras Cap Feri ini akan menggunakan beras tempatan dari Pulau Pinang,” katanya sambil menambah bahawa projek tersebut akan diketuai oleh beliau sendiri selaku Exco berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD