GEORGE TOWN – Beras tempatan dari Pulau Pinang, Beras Cap Feri bakal dilancarkan pada 19 Oktober 2024.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, pihaknya akan mengadakan majlis pelancaran beras tersebut di salah sebuah hotel di Bertam, Seberang Perai Utara (SPU).
“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan menyempurnakan pelancaran beras tersebut nanti.
Alhamdulillah, salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjamin bekalan makanan di negeri ini (dengan mengeluarkan beras tempatan berjenama sendiri) berjaya direalisasikan.
“Pengeluaran beras ini akan memberi manfaat kepada golongan sasar, sebab itu sebagai permulaan, tumpuan kita untuk jualan adalah melalui ‘Jualan Rahmah’ serta rangkaian koperasi seperti ‘Coop Mart’ di kawasan kampung ,” ujarnya.
Beliau yang ditemui di pejabatnya di Komtar memaklumkan, dari segi berat, semua Beras Cap Feri dipaketkan dalam satu kategori sahaja.
“Ya, Beras Cap Feri akan dijual dalam satu kategori berat sahaja iaitu lima (5) kilogram sekampit dengan harga jualan mengikut harga siling beras putih tempatan,” katanya.
Bagi perancangan masa hadapan, Fahmi berkata, pihaknya berhasrat menggerakkan penjualan di pejabat-pejabat ADUN atau agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Namun, ia bergantung pada kelangsungan bekalan beras semasa memandangkan kita menggunakan beras tempatan.
“Cuma, jika dilihat hasil (padi di Pulau Pinang) tahun ini memang memberangsangkan,” katanya yang mahu melihat hasil pengeluaran padi negeri dapat ditingkatkan dengan penggunaan teknologi pada masa hadapan.
Sebelum ini, pada 20 Mac 2024, cadangan mengeluarkan beras tempatan berjenama sendiri dipersetujui melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Susulan itu, Jawatankuasa Pemandu diwujudkan membabitkan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan; Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI); Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA); Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Bahagian Kawal Selia Padi Beras. Manakala, beliau selaku Exco berwajib mengetuai inisiatif berkaitan sehingga ke hari ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING