Beratur panjang buat passport, Jabatan Imigresen pertingkatkan segala proses yang boleh diperbaiki

Admin
KETUA Menteri (belakang, dua dari kiri) diiringi Teh Lai Heng (belakang, kiri sekali) mendapatkan maklum balas daripada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia mengenai isu pelanggan beratur panjang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar untuk memperbaharui pasport di sini pada 20 April 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya percaya Jabatan Imigresen yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan mengambil kira lambakan pelanggan yang mahu memperbaharui pasport saban hari di sini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian selepas mendapatkan maklum balas lanjut daripada pegawai berkenaan serta pelanggan di sini pada pagi tadi (20 April 2023).

KETUA Menteri (kanan) diiringi Teh Lai Heng dalam sidang media berkaitan di UTC Komtar di sini pada pagi tadi.

“Sistem janji temu (pelanggan) dalam talian memang dibuka tetapi dihadkan kepada 120 orang sahaja tiap-tiap hari.

“Kita dapat lihat mereka yang mengadakan janji temu diberi keutamaan, dan sekarang pun barisan mereka yang membuat temu janji hampir habis…yang nampak beratur panjang adalah mereka yang hadir terus (walk in).

“Justeru, saya percaya Jabatan (Imigresen Malaysia) akan mempertingkatkan segala proses yang boleh diperbaiki lagi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Buletin Mutiara difahamkan, sehingga hari ini (20 April 2023), waktu operasi UTC Komtar tiap-tiap hari adalah seawal 8 pagi hingga 4.30 petang yang mana waktu rehat adalah 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

Notis di pintu masuk utama UTC Komtar turut menjelaskan waktu beroperasi esok (21 April 2023) adalah seawal 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Tiada operasi pada sebelah petang termasuk di semua kaunter Jabatan Imigresen.

Menurut seorang pegawai jabatan berkenaan, lambakan pelanggan begitu ketara pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lepas, sejak 2020.

Selepas tempoh kira-kira dua tahun, beliau memberitahu bahawa ramai mengambil peluang memperbaharui pasport masing-masing di sini sama ada melalui kaedah janji temu dalam talian ataupun jalan terus.

Kata beliau lagi, kapasiti maksimum untuk pelanggan memperbaharui pasport di Jabatan Imigresen di UTC Komtar setiap hari adalah seramai 400 orang sahaja dan lambakan pelanggan ketika ini kian merosot.

Terdahulu, sebuah akhbar arus perdana melaporkan mengenai lambakan pelanggan yang mahu memperbaharui passport sehingga ada yang sanggup hadir terus (walk in) seawal 2.30 pagi untuk mengambil nombor giliran awal serta mengelak beratur terlalu lama di sini.

Liputan berita itu menggamit perhatian Kon Yeow secara peribadi serta ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada pegawai berkenaan serta para pelanggan di UTC Komtar dekat sini pada pagi tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING