Berbelanja di kompleks Taman Terubong Jaya, peluang menang hadiah

PAYA TERUBONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan beberapa langkah proaktif baharu di Pasar dan Kompleks Makanan Taman Terubong Jaya bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kompleks tersebut.

 

 

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang, antara yang langkah tersebut adalah mengadakan cabutan bertuah kepada setiap pengunjung dengan syarat-syarat tertentu.

 

 

 

“Setiap gerai ada kad cabutan bertuah, anda cuma perlu berbelanja RM10 dan ke atas untuk dapatkan satu cop, apabila cukup tujuh cop, pelanggan akan layak menyertai cabutan bertuah bulanan dengan hadiah menarik disediakan.

 

 

 

“Inisiatif kedua adalah muat naik video di media sosial TikTok dan Facebook dengan tanda pagar #Makan&Menang dan #tamanterubongjaya, tontonan dan likes terbanyak akan memenangi hadiah berupa kredit Penang Smart Parking bernilai RM80.

 

 

 

“Ketiga adalah kerjasama dengan Kelab Senamrobik Mutiara pada setiap Ahad jam 9 pagi hingga 10:30 pagi untuk adakan aktiviti senamrobik di tingkat tiga kompleks ini,” ujar Soo Siang dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Ahli Majlis bagi MBPP, Rohaizat Hamid.

 

 

Tidak ketinggalan adalah kerjasama MBPP bersama Ajo Mamu Raja Lawak untuk mempromosikan Pasar dan Kompleks Makanan Taman Terubong Jaya di media sosial.

 

 

 

Soon Hin dalam sidang media sama berharap, sebagai kawasan paling pada di Pulau Pinang, penduduk Paya Terubong dapat mengutamakan pembelian barangan harian di pasar tersebut dalam mengurangkan kepadatan di Pasar Awam Air Itam.

 

 

 

“Pasar yang siap pada tahun 2019 ini lebih moden dan selesa, jadi diharap penduduk Paya Terubong dapat memanfaatkan pembinaan kompleks ini kerana kita tahu pasar Air Itam sudah terlalu ramai.

 

 

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada MBPP kerana mengambil langkah proaktif ini, sekiranya rancangan ini berjaya kita boleh teruskan lagi untuk jangka masa yang panjang disamping membantu para peniaga di sini,” katanya lagi.

 

 

 

Difahamkan, kompleks tiga tingkat itu menempatkan 60 gerai pasar di tingkat satu, 60 gerai barangan am (tingkat 2) dan dewan serta kompleks makanan (tingkat tiga).

 

 

Oleh  : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING