Berbuka puasa bersama pasukan bomba dan penyelamat, Kon Yeow zahir penghargaan

Admin
5d3e497a 920c 40ff 8fee 33ce55a6c1ca

PULAU BETONG – Tugas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) disifatkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai sangat mencabar terutamanya melibatkan nyawa.

Malah, mewakili barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, beliau sedar juga akan tanggungjawab berat yang dipikul oleh anggota pasukan bomba dan penyelamat dalam kerja-kerja menyelamat nyawa serta harta benda tanpa mengira hari dan waktu.

“Saya sedar, ekoran status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang rancak ekonominya baik dari segi pelancongan mahupun industri, ia sekaligus meningkatkan lagi potensi kes-kes kecemasan yang memerlukan khidmat serta kepakaran pasukan bomba.

“Suatu ketika dahulu, kepakaran pasukan bomba dan penyelamat sering kali dikaitkan dengan kes-kes kebakaran sahaja.

“Namun kini, tugas-tugas pasukan bomba dan penyelamat juga merangkumi usaha-usaha menyelamat atau mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya, mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang atau terperangkap dalam kejadian tanah runtuh.

faec1ae7 b902 493e 9817 52d8d43bc505


“Tidak terkecuali tugasan menangkap haiwan liar, menyelamatkan haiwan peliharaan yang terperangkap malah juga kerja-kerja menyelamat mangsa-mangsa banjir termasuk di laut,” ujar Kon Yeow pada Majlis Iftar Rakyat Bersama Warga Penyelamat Wira Merah Daerah Barat Daya di Balai Bomba Seri Pulau, Balik Pulau dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap ADUN Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Timbalan Pengarah Bomba Negeri Pulau Pinang, Ts. Zulfahmi Sutaji dan dif-dif jemputan lain.

Dalam sidang media di majlis sama, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau sedaya upaya memenuhi undangan berbuka puasa yang diaturkan di seluruh negeri sama ada bersama rakyat ataupun agensi-agensi kerajaan.

“Macam hari ini, di minggu terakhir, saya berada di Balai Bomba Seri Balik Pulau.

“Saya melihat majlis berbuka puasa sebagai peluang memahami umat Islam khususnya ‘anak-anak buah’ di Pulau Pinang dan agensi kerajaan di samping boleh menjalin kesempatan untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Ramadan cuma ada sebulan,  tidak  mungkin semua majlis jabatan dapat dihadiri, mungkin tahun akan datang dengan agensi berbeza-beza,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video: DARWINA MOHD. DAUD