Bercanggah fakta, Zainal Abidin digesa jelas 16,297 unit PR1MA diumumnya – Exco

GEORGE TOWN – Sehingga September lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan dua projek PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) di dalam kawasan pentadbirannya.

Perkara tersebut disahkan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang merujuk kepada sepucuk surat dikeluarkan MBPP berhubung kebenaran pemajuan projek PR1MA di kawasan pulau sehingga kini.

Katanya, kedua-dua pemajuan projek tersebut adalah melibatkan 3,071 unit perumahan dengan masing-masingnya 1,823 unit di Kampung Kastam dekat Bukit Gelugor, dan 1,248 unit (Batu Feringghi).

“MBPP telah mengesahkan bahawa pihaknya telah meluluskan tiga pemajuan iaitu satu di Batu Feringghi dan dua lagi (pemajuan) di kawasan Kampung Kastam.

“Meskipun telah diluluskan, tetapi sehingga hari ini tiada satu cerucuk atau pun projek PR1MA dimulakan pembinaannya,” tegasnya sambil menyatakan bahawa tiada sebarang projek PR1MA diluluskan setakat ini bagi pentadbiran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Menurut Jagdeep, jumlah tersebut adalah bercanggah dengan fakta-fakta pengumuman yang dibuat Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menerusi satu kenyataan di sebuah akhbar arus perdana milikan Barisan Nasional (BN) bertarikh 15 September lalu.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah menyemak dengan kedua-dua PBT, ternyata jumlah didedahkan Zainal (Abidin) tidak tepat, saya mahu dia jelaskan angka yang diumumkannya ini,” serunya.

Terdahulu, Zainal Abidin dalam kenyataannya menyatakan bahawa sejumlah 16,297 rumah PR1MA telah diluluskan di Pulau Pinang, iaitu melibatkan jenis pangsapuri dan teres di enam lokasi yang bakal dibina di negeri ini.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Zainal Abidin dipetik berkata di bawah pentadbiran MBPP, sejumlah 905 unit adalah di Bukit Gelugor, Sungai Pinang (6,796), Teluk Kumbar (3,944) dan Batu Feringghi (1,248). Manakala, masing-masingnya 1,017 unit di Permatang Pauh dan Tasek Gelugor (2,387) bagi kawasan seliaan di bawah MPSP.

Dalam keadaan pemajuan PR1MA yang masih menjadi tanda tanya, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri tidak bersikap diam diri, sebaliknya secara agresif telah merancang pembangunan 17 projek perumahan mampu milik (RMM) membabitkan 27,230 unit di kelima-lima daerah di sini.

Jelas beliau, daripada 17 projek tersebut, lima daripadanya kini berada di peringkat pembangunan iaitu Bandar Cassia, Batu Kawan kini hampir 100 peratus siap, Kampung Jawa (83%), Teluk Kumbar (58%) dan SP Chelliah (45%).

“Sektor swasta juga tidak ketinggalan untuk sama-sama mengambil bahagian yang mana sejumlah 36,759 unit pelbagai jenis RMM telah diluluskan.

“Antara projek swasta yang telah memulakan pembinaan ialah Ramah Pavillion sebanyak 90 peratus pemajuan, Tripinaccle (65%), One Foresta (32%) dan I-Santorini (28%),” jelas beliau.