Beri insentif kepada penduduk pasang CCTV di premis sendiri – ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberikan insentif kepada penduduk di negeri ini yang memasang sendiri kamera litar tertutup (CCTV) di premis-premis milik mereka.

Menurutnya, insentif yang boleh dipertimbangkan adalah melalui potongan cukai pintu kepada penduduk dan pemilik premis perniagaan yang memasang CCTV dan menjadi Rakan Keselamatan Kerajaan.

“Cadangan ini tidak bercanggah dengan dasar pengurangan cukai pintu yang diumumkan baru-baru ini malah mampu memberikan kesan yang ketara dalam membentuk sebuah negeri selamat melalui kerjasama antara Kerajaan dan rakyat.

“Walau bagaimanapun pemotongan cukai pintu hanya boleh diberikan kepada penduduk (rumah sendiri) yang memasang CCTV dengan memenuhi kriteria seperti kualiti, kuantiti, sudut yang dipasang dan juga kesediaan membekalkan rakaman video kepada PDRM (Polis DiRaja Malaysia) sekiranya perlu.

“Dan insentif ini juga hanya boleh dinikmati sekali dalam tempoh tertentu misalnya lima tahun sekali,” ujarnya pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dalam manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 menyasarkan sebanyak 1,000 unit CCTV dipasang di seluruh Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD